Concorde kini di Singapura
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
JENAMA Concorde sudah dikenali sebagai penginapan terbaik dengan bangunan di lokasi strategik di tengah nadi kota berdekatan blok monumen bersejarah atau dalam kesibukan daerah komersial. Objektifnya, setiap rangkaian hotel atau pusat peranginan perlu menzahirkan personaliti tersendiri dan sentiasa harmoni dengan persekitarannya.
Dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, setiap kakitangan dilatih supaya peka dengan kehendak dan keperluan tetamu selain peka terhadap perkembangan semasa dalam industri hospitaliti global.
Di setiap hotel dan pusat peranginan yang membawa jenama Concorde, pengalaman penginapan mewah ditekankan tanpa meminggirkan sentuhan budaya tempatan.
Terkini, HPL Hotels & Resorts mengumumkan pengambilalihan pengurusan hartanah hotel Le Meridien Singapore dan menjenamakannya semula sebagai Concorde Hotel Singapore mulai 1 Oktober 2008.
Perkembangan ini menjadikan ia sebagai hotel Concorde keempat di bawah HPL Hotels & Resorts Group, dengan tiga daripadanya di Malaysia. Sebelum ini, Le Meridien diuruskan Starwood Hotel & Resorts Worldwide, yang kontrak pengurusannya tamat berkuat kuasa September lalu.
HPL Hotels and Resorts akan mengambil peluang ini bagi memperkenalkan semula jenama Concorde di Singapura. Usaha ini juga sejajar dengan pelan perluasan HPL bagi mengembangkan jenama ini ke negara lain di rantau Asia termasuk Thailand, Indonesia dan India.
Hotel dengan 417 bilik ini terletak di tengah kawasan bisnes, hiburan dan pusat beli-belah utama di kota Singa iaitu Orchard Road. Malah, lokasinya berdekatan Istana yang menjadi kediaman rasmi Presiden Singapura.
Serentak perkembangan terbaru ini, Concorde Hotel Singapura akan menjalani proses pengubahsuaian besar-besaran termasuk menaik taraf bilik dan kemudahan. Bagi menjaga privasi tetamu, kerja pengubahsuaian akan dilakukan secara berperingkat - mulai November depan dan dijangka selesai sepenuhnya pada suku pertama 2010.
Hotel empat bintang turut menyediakan 31 suite termasuk Opal dan Jade (suite Presiden), 293 bilik Deluxe and 93 bilik Premier. Apabila diubah suai, setiap bilik dan suite bakal tampil dengan gaya lebih moden, ruang simpanan dan meja kerja lebih luas, di samping kemudahan teknologi terkini.
Bagi memberikan pengalaman penginapan terbaik kepada setiap tetamu, tetamu bilik Premier boleh menggunakan Premier Lounge baru (sebelum ini dikenali sebagai Le Club Lounge) untuk urusan daftar masuk dan menikmati kemudahan mesyuarat dan hidangan makanan dan minuman percuma dalam suasana penuh privasi.
Kemudahan persidangan dan bankuet turut dikemas kini dengan menyediakan 17 venue dengan kapasiti berbeza antara 10 dan 800 orang pada satu-satu masa. Lobi yang menyambut kedatangan tetamu pula bakal bertukar rupa dengan gaya elegan menerusi penggunaan perabot kulit, kemasan dinding dan paparan warna oren dan hitam samar.
Tambah menarik apabila disinari cahaya matahari yang tersimbah menerusi siling kaca tembus pandang pada siang hari, sebelum bergemerlapan dengan sinaran bintang pada waktu malam. Jamu selera juga seakan-akan suatu pesta di hotel ini dengan pembukaan beberapa restoran terbaru termasuk Spices, Spices Lounge, Lobby Lounge dan Pool & Bar.
>Info
Concorde Hotel Singapore
Tel: 65-6733 8855
Faks: 65-6732 7886
http://www.concordehotel.com.sg
|
|