Melepas lelah di Lata Meraung
Teks Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my
KEPUASAAN menghirup udara segar di hutan semula jadi sambil bersuka ria mandi air terjun menjadi impian setiap mereka yang berkunjung ke kawasan hutan lipur di negara ini.
Terletak kira-kira 16 kilometer daripada bandar Jerantut, Pahang, Hutan Lipur Lata Meraung menjanjikan impian perkelahan selesa kepada pengunjung.
Walaupun terpaksa berjalan kaki kira-kira 10 sambil mendaki anak tangga, kunjungan ke kawasan berkenaan akan menjadi kenangan manis anda.
Diuruskan Pejabat Hutan Daerah Jerantut, hutan lipur Lata Meraung memang terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing.
Terletak dalam kawasan Hutan Simpan Jerantut, hutan lipur Lata Meraung terdapat pelbagai spesies pokok balak seperti kempas, meranti, penarahan dan kelat.
Bagi yang suka aktiviti merentas hutan sambil melihat pelbagai flora dan fauna, anda boleh menggunakan khidmat pemandu pelancong.
Selepas itu, anda boleh melepaskan kepenatan di kawasan air terjun yang sejuk sambil melihat beberapa spesies ikan.
Jika datang dari luar, anda boleh menggunakan kemudahan seperti tandas, pondok berehat, kawasan memasak dan tapak perkhemahan.
Keadaan persekitaran kawasan hutan lipur Lata Meraung yang sejuk dan redup menarik kunjungan pelbagai spesies burung, serangga, tupai, pacat, kelawar dan kera.
Jika bernasib baik, pengunjung yang bermalam di situ dapat melihat haiwan kecil seperti landak, kancil, pelanduk, musang dan burung hantu.
Hutan lipur ini juga menjadi tumpuan pelajar mengenali lebih dekat pelbagai spesies pokok balak dan herba.
Pejabat Hutan Daerah Jerantut menaik taraf kemudahan seperti lanskap bagi menimbulkan suasana lebih ceria.
Di Jerantut, anda juga boleh mengunjungi Hutan Lipur Som dan Hutan Lipur Ulu Tembeling.
Pengunjung yang berminat ke Hutan Lipur di Jerantut boleh berurusan dengan Pejabat Hutan Daerah Jerantut.
|
|