Menghayati khazanah di Taman Negara
TAMAN Negara adalah warisan negara yang tiada nilainya, malah hutan hujan yang tertua di dunia. Sejak 130 juta tahun lalu, kebanyakan daripada hutannya masih kekal seperti sedia kala.
Taman Negara mempunyai keluasan 4,343 kilometer persegi. Ia terletak di banjaran Gunung Tahan, gunung tertinggi di Semenanjung iaitu setinggi 2,187 meter.
Pengarah Jualan Mutiara Taman Negara, Pravind Balram, berkata Taman Negara meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Beliau berkata, kebanyakan pelancong gemar menggunakan laluan Kuala Tahan, Pahang untuk ke Taman Negara.
“Di sini, anda boleh melihat pelbagai spesies haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan, malah ada di antaranya jarang ditemui.
“Selain itu, inilah peluang untuk melihat kehidupan Orang Asli yang masih mengamalkan cara hidup kuno dan berpindah-randah.
“Hanya Orang Asli dibenarkan untuk memburu dan melakukan aktiviti di Taman Negara,” katanya.
Katanya, kajian mendapati ada kira-kira 10,000 spesies tumbuh-tumbuhan, 150 serangga, 675 burung, 270 reptilia, 250 ikan sungai dan 200 spesies haiwan.
“Ahli sains masih mengkaji spesies baru yang belum ditemui setiap hari, malah ramai belum mengetahui rahsia Taman Negara,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Akaun Mutiara Taman Negara, Nasarimah Othman, berkata pelancong patut tinggal lebih lama di Taman Negara untuk menikmati alam semula jadi dan hidupan hutannya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Taman Negara, antaranya mendaki gunung, memancing, cabaran melawan arus di Sungai Tahan, merentas hutan pada waktu malam, melihat burung, jambatan gantung dan perkampungan Orang Asli.
“Anda boleh menginap di Mutiara Taman Negara yang menyediakan kemudahan lengkap untuk percutian di sini.
“Anda boleh memilih tinggal di chalet, asrama atau banglo yang menyediakan 108 bilik penginapan,” katanya.
Mengunjungi Taman Negara, seolah-olah anda melupakan segala-galanya, hanya di hadapan anda alam semula jadi yang amat menakjubkan.
“Kami tidak menyediakan kemudahan televisyen atau telefon di chalet bagi membolehkan anda bebas daripada sebarang gangguan,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Mutiara Taman Negara, hubungi talian 09-2663500 atau e-mel rmtn@mutiarahotels.com.
Di Kuala Lumpur, anda boleh menghubungi Pravind di talian 03-27822222, faksimile 03-27822233 atau e-mel: pravind@mutiarahotels.com.
|
|