Indahnya Taman Negara!
Oleh Roslan Ibrahim
lann@nstp.com.my
 |
KETIKA kami sampai ke Perkampungan Orang Asli Dedari di Taman Negara, Pahang, seorang kanak-kanak tanpa seutas benang di badan melarikan diri ke sebuah pondok kecil. Dari celah pondok, beberapa wanita yang berambut kerinting mengintai ke arah kami, ada yang hanya memakai kain paras pinggang. |
KETIKA kami sampai ke Perkampungan Orang Asli Dedari di Taman Negara, Pahang, seorang kanak-kanak tanpa seutas benang di badan melarikan diri ke sebuah pondok kecil. Dari celah pondok, beberapa wanita yang berambut kerinting mengintai ke arah kami, ada yang hanya memakai kain paras pinggang.
“Inilah Orang Asli suku kaum Batek, mereka memang pemalu...,” kata Eksekutif Rekreasi, Mutiara Taman Negara, Romlan Jaafar atau lebih mesra dengan panggilan Datuk.
Ketika bot panjang yang dinaiki wakil media berhenti di perkampungan itu, Tok Batin, Bemban baru balik dari pekan selepas membeli beberapa keperluan untuk anak buahnya.
“Mari naik, inilah kampung kami,” kata Tok Batin Bemban sambil menunjukkan ke beberapa pondok kecil yang dihuni di antara tiga atau empat penghuni. Teringat saya pondok yang dibina kanak-kanak di kampung untuk bermain masak-masak.
Pondok yang serba ringkas itu memudahkan mereka berpindah-randah tetapi sejak menjadi produk pelancongan, mereka menetap di sesuatu tempat dalam tempoh yang lama kerana mempunyai pendapatan tetap dan lumayan.
Bagi Orang Asli, kehidupan mereka amat ringkas, jika ada gula, tembakau atau kopi, ia sudah memadai. Jika mempunyai makanan sama ada haiwan buruan atau apa sahaja, mereka akan berkongsi dan tiada yang cuba membolot seorang diri.
Wakil media seperti teruja dengan suasana dan penampilan Orang Asli di perkampungan itu yang masih mengekalkan cara hidup primitif. Setakat separuh bogel sudah biasa di kalangan wanita di sini, cuma apabila kehadiran pelancong, mereka melarikan diri dan mengelak gambar dirakam.
Wanita yang dalam usia 14 atau 15 tahun mendukung anak masing-masing, ada yang masih menyusu badan. Bagi mereka, kahwin pada usia muda perkara biasa.
“Apa lagi nak buat, selepas akil baligh, kahwin le walaupun usia masih muda tetapi yang bagusnya, mereka tiada sifat cemburu atau bergaduh, masing-masing hidup dalam harmoni,” kata jurupandu pelancong Mutiara Taman Negara, Hamzah Abdul Hamid atau Pak Chu.
Pondok mereka tidak mempunyai apa-apa, sekadar periuk untuk memasak air atau makanan. Tiada bekalan air atau elektrik. Televisyen atau radio jauh sekali. Seronok saya melihat tingkah laku mereka, kau pandang aku, aku pandang kamu.
Bagi golongan lelaki, mereka menyediakan keperluan makanan harian sama ada berburu, mencari ubi kayu atau memancing ikan. Wanita hanya memasak dan menjaga anak-anak.
Saya mendapati kebanyakan kulit Orang Asli mempunyai penyakit kulit seperti panau, kudis atau kurap.
“Cara hidup mereka yang mengabaikan kebersihan memudahkan terdedah kepada risiko penyakit.
“Bagaimanapun, mereka mahir mencari daun-daun hutan untuk membuat ubat, itulah kelebihan mereka,” kata Pak Chu.
Sedang asyik berbual dengan beberapa wanita Orang Asli, Tok Batin Bemban memanggil wakil media untuk menunjukkan kaedah menghasilkan api dengan menggunakan sejenis tali yang digosokkan ke kayu.
Kebolehan menghidupkan api tanpa menggunakan mancis atau pemetik api diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi.
Acara yang paling ditunggu-tunggu ialah menyumpit. Mereka mampu menumpaskan haiwan seperti babi hutan, tupai atau monyet dengan sekali sumpitan.
“Cepat...sudah mahu hujan ni, mungkin jam 6 petang,” kata Tok Batin Bemban.
Justeru, wakil media berkumpul di hadapan Tok Batin Bemban untuk melihat kemahiran anak buahnya menyumpit. Memang handal, sekali sumpit, sasaran sudah mengena.
Sebelum balik, kami mengambil gambar kenang-kenangan dengan Tok Batin Bemban dan anak buahnya. Ketika kaki mencecah ke lantai bot, hujan renyai. Saya melihat jam di tangan yang menunjukkan angka 6 petang.
Teringat saya kata-kata Tok Batin Bemban supaya aktiviti sumpit dilakukan segera kerana dia meramalkan hujan jam 6 petang.
“Memang handal, sampai hujan pun boleh teka jam berapa,” kata saya. Namun, kehidupan mereka yang bersatu dengan alam membuatkan mereka mahir meramal sesuatu.
Dalam perjalanan pulang, hujan lebat sekali, habis basah kuyup wakil media walaupun cuba berlindung dengan kain tuala.
Malamnya, selepas makan, kami meneruskan aktiviti meredah hutan atau Night Jungle Walk. Suara unggas, kumbang dan penghuni hutan memecah kesunyian malam. Dalam kegelapan malam, sekadar berteman lampu picit, ada yang tersepak akar kayu.
Memang indah melihat suasana di dalam hutan pada waktu malam terutama haiwan yang mencari makanan atau mangsa ketika matahari terbenam.
Kumbang, kala jengking, labah-labah, burung pacak, ular daun dan kongkang antara hidupan hutan yang kami temui malam itu. Saya menyuluh juga ke rantai kayu di atas kepala, mana tahu jika ada ular yang bergantung di celah daun.
Malam itu kami gagal melihat rusa tetapi jika bernasib baik, anda boleh melihat haiwan liar itu menjilat air garam di kawasan Bumbum yang disediakan kakitangan Jabatan Hutan.
Esoknya, selepas sarapan pagi, kami meneruskan ekspedisi meneroka hutan dan berjalan di jambatan gantung terpanjang di dunia. Memang gayat tetapi seronok, malah ramai rakan media menjerit apabila lantai kayu bergoyang.
Dari atas jambatan gantung, anda dapat menghirup udara segar hutan Taman Negara yang masih asli dan melihat pemandangan sekitar taman berkenaan.
Kemudian, kami menaiki bot ke Gua Telinga, salah satu kawasan yang menjadi tumpuan pelancong untuk melihat keindahan alam semula jadi gua batu kapur terutama kelawar.
Ketika kaki mencecah lantai gua, saya puas berdoa mengelak bertemu ular yang dikatakan bergantung di langit gua untuk memakan kelawar.
Dalam hati-hati itu, saya terasa tangan memegang sesuatu yang lembik, hati terus berdebar memikirkan pelbagai perkara kerana dalam kegelapan gua, saya tidak tahu apa di bawah tapak tangan.
Apabila rakan menyuluh, saya ketawa sendiri kerana tapak tangan saya rupanya terpegang tahi kelawar.
Di sebelah petang, kami menaiki bot melihat kawasan pembiakan ikan kelah, antara hidupan sungai yang mempunyai nilai tinggi terutama di kalangan kaki pancing. Sisiknya boleh digoreng dan rasanya seperti keropok.
Dalam perjalanan pulang selepas hujan, kami terserempak dengan seekor rusa di tepi sungai Kuala Tahan. Haiwan itu tidak melarikan diri, sebaliknya merenung tajam ke arah kami.
Puas rasanya dapat melihat rusa dalam habitat semula jadi dan ia hanya diperoleh jika mengunjungi Taman Negara.
Pengalaman tiga hari dua malam di Mutiara Taman Negara sesuatu yang menyeronokkan, apatah lagi mereka yang gemar alam semula jadi. Kehidupan Orang Asli, haiwan liar, hutan dara, sungai selain flora dan fauna anugerah Ilahi yang tiada nilainya.
Cubalah ke sini, anda pasti tidak menyesal walaupun bermandi peluh dan pakaian bersalut lumpur.
>>INFO
- Panjang Jambatan Gantung ialah 510 meter dengan ketinggian 45 meter.
- Bayaran menggunakan Jambatan Gantung ialah RM5 (dewasa) dan RM3 untuk kanak-kanak.
- Jambatan Gantung beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 2.45 petang kecuali Jumaat dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
- Tempat lain yang menarik di Taman Negara ialah kawasan air terjun Lata Berkoh, Lubuk Simpon, cabaran mendaki Gunung Tahan, Bumbum Kumbang, Bukit Indah, Kuala Keniam dan Kuala Bukit Terasek.
- Anda boleh menaiki bot panjang untuk cabaran melawan arus di tujuh jeram di Sungai Kuala Tahan.
>>BAGAIMANA KE SANA
- Dari Kuala Lumpur, anda boleh menggunakan kenderaan sendiri atau bas ekspres yang bertolak setiap hari dan ia mengambil masa kira-kira tiga jam setengah.
- Dari Kuala Lumpur, menggunakan Lebuh Raya Karak terus ke Jerantut sebelum ke Kuala Tahan.
- Bot dari Kuala Tahan ke Mutiara Taman Negara dikenakan tambang RM1 seorang.
- Anda juga boleh menggunakan bot panjang dari Kuala Tembeling dan perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam.
|
|