Bunga cantik, taman indah
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
JIKA anda tergolong dalam kelompok peminat bunga dan tumbuhan herba, kunjungan ke Taman Agroteknologi Mardi, Cameron Highlands, pasti memberi pengalaman yang sukar dilupakan.
Asalnya, ia dibina sebagai Stesen Penyelidikan Persekutuan yang dibangunkan pemerintah Inggeris pada 1925. Selepas merdeka, ia diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan status Persekutuan dikekalkan sehingga ia diserahkan kepada Mardi pada 1971.
Uniknya, seni landskap taman ini berlandaskan model taman utama dunia seperti Kew Garden, England dan Agro Dome di New Zealand. Untuk itu, pelbagai jenis pokok bunga bermusim seperti impatiens, celosia, marigold, sylvia dan mini carnation ditanam di atas tapak seluas 0.6 hektar.
Mengindahkan lagi taman tanah tinggi ini, lebih 200 spesies orkid, kebanyakan tumbuh liar di Cameron Highlands, dan berbunga sekitar Ogos. Taman ros pula dihiasi lebih 40 bunga jenis itu, majoritinya diimport dari Belanda.
Hias taman desa Inggeris seakan-akan tidak lengkap tanpa tumbuhan herba. Untuk itu, taman kecil menempatkan 50 spesies herba tempatan dan asing. Pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat 'guide' bagi mengetahui manfaat setiap tumbuhan yang ditanam di taman ini.
Tidak ramai yang tahu, stesen Mardi ini juga menempatkan kebun teh tertua negara, diusahakan seawal 1926. Bertitik tolak daripada penghasilan teh bermutu tinggi daripada biji benih yang dimport dari India, beberapa syarikat mula mengeluarkan teh secara komersial di Cameron Highlands.
Perkembangan itu menyaksikan kilang teh yang peringkat awal digunakan stesen ini untuk tujuan eksperimen, beroperasi secara komersial pada 1983, dengan mengeluarkan produk di bawah jenama Nutrima.
Kilang teh ini terpaksa ditutup pada 1990 berikutan kos pengeluaran tinggi dan tidak menguntungkan. Bagaimanapun, ada berita baik kerana difahamkan, kilang teh ini bakal beroperasi semula sebagai tarikan pelancong ke taman ini.
Mungkin kerana pelbagai tarikan menarik yang ditawarkan pusat penyelidikan pertanian yang unggul di negara ini, Taman Agroteknologi Mardi dipilih sebagai tapak pelancaran Zoom! Cameron Highlands, minggu lalu.
Pelancaran kempen itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Hadir sama, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Selain melawat taman Inggeris dan kebun teh tertua negara, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai jenis buah-buahan yang ditanam menggunakan rumah pelindung hujan. Jadi apa lagi, masukkan taman ini sebagai destinasi mesti kunjung apabila berada di Cameron Highlands.
|
|