Hati teruja di Pulau Jeju
Teks dan gambar Aminudin Ismail
rencana@hmetro.com.my
PERCUTIAN di pulau indah memang menjadi impian setiap insan. Tidak hairanlah, ada yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit hanya untuk menikmati percutian mempesonakan di pulau peranginan popular seperti Hawaii, Bali atau Phuket.
Baru-baru ini, 83 pelajar Malaysia dalam bidang kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Seoul, menyertai percutian tiga hari dua malam di Pulau Jeju, destinasi pelancongan popular di Korea Selatan.
Menurut wakil pelajar, Wan Mohd Fikri Hilmi Wan Salam, setibanya kumpulan pelajar itu ke Pulau Jeju, mereka teruja dengan keindahan dan keharuman bunga dan batuan, Harubang yang menjadi simbol utama pulau itu.
Selepas mengunjungi Hallim Park untuk melihat taman burung dan taman botani dan Lava Tube Case, mereka berlepas untuk bermalam di pusat peranginan mewah iaitu Daemyong Resort.
"Hari kedua, kami menaiki feri besar untuk pergi ke Pulau Udo dan mengunjungi Gimnyeong Maza dan berkesempatan menunggang kuda sebelum bersantai di pantai atau mendaki puncak gunung Seongsan Ilchulbong untuk menyaksikan keindahan pulau kecil ini," katanya.
Puncak gunung yang turut dikenali sebagai 'Fortess mountain Village' turut menempatkan pelbagai ukiran menarik yang boleh disaksikan pelancong secara percuma.
Kumpulan pelajar Malaysia tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu mengakhiri lawatan di Pulau Jeju dengan satu pendakian yang mencabar dengan ekspedisi menakluk puncak tertinggi Korea iaitu Halla San.
"Seakan dilamun mimpi apabila berjaya menamatkan pendakian itu. Apabila mengenangkan kami mendaki sehingga 4.7 kilometer (km) untuk ke puncak dan 3.7 km untuk menurun ke kaki gunung. Ini belum diambilkira jarak dua km lagi untuk ke tempat letak bas," katanya.
Tambah menarik, Wan Mohd Fikri Hilmi, kawasan pergunungan itu dilitupi salji membuatkan peserta teruja untuk merakam gambar kenangan. Apatah lagi, ada antara mereka yang bakal pulang ke tanah air tidak lama lagi selepas tamat pengajian nanti.
>Info
> Pulau Jeju turut dipanggil Jeju-do. Menurut sejarah, Pulau Jeju terletak di Selat Korea di daerah Jeollanamdo sebelum berpisah menjadi daerah lain pada 1946. Ia pernah juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Doi, Dongyeongju, Juho, Tammora, Takra, Tamra.
> Selain menyaksikan Festival Api Jeju, pelancong boleh meneroka gua bawah tanah dan melihat Taman di Taman Hallim boleh meneroka gua bawah tanah dan melihat Taman Bonsai yang berusia lebih 150 tahun.
|
|