Malaysia destinasi pilihan rakyat Finland
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
PENERBANGAN tempahan khas membawa 225 penumpang dari Finland mendarat di Pulau Pinang pada 18 November lalu membuka dimensi baru dalam sektor pelancongan negara.
Dikendalikan agensi pelancongan terkemuka di Finland, Lomamatkay Oy, usaha itu dijangka meningkatkan kedatangan pelancong dari rantau Scandinavia ke negara ini.
Penumpang yang rata-ratanya pertama kali menjejakkan kaki ke bandar raya yang diisytiharkan Tapak Warisan Dunia itu menerima sambutan besar-besaran dengan paluan kompang dan penari berpakaian tradisional.
Mereka kemudian dibawa menikmati makan malam pada majlis yang dihoskan Tourism Malaysia sambil menyaksikan pemandangan kesan sejarah di Fort Cornwallis, Pulau Pinang.
Dalam ucapannya, ahli Lembaga Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Kee Phaik Cheen, berkata Malaysia menjadi antara destinasi pilihan pelancong antarabangsa.
"Walaupun krisis global seperti kenaikan harga minyak dan masalah ekonomi memberi kesan kepada pelancong yang ingin mengembara ke rantau ini, Malaysia masih menjadi pilihan menarik sebagai destinasi berbaloi dengan wang dibelanjakan pada kadar tukaran asing yang rendah," katanya.
Menurutnya, agensi berkenaan juga boleh mempertimbangkan untuk mengadakan penerbangan tempahan khas ke beberapa destinasi menarik lain di negara ini.
Lomamatkat Oy, agensi pelancongan keempat terbesar Finland bakal mengadakan sembilan penerbangan tempahan khas antara beberapa bandar utama negara itu dan Pulau Pinang atau sekali untuk setiap dua minggu sehingga 8 Mac tahun depan.
Berdasarkan maklum balas, usaha itu mendapat sambutan menggalakkan dengan ada penerbangan yang mendapat tempahan penuh, 90 peratus atau 70 peratus daripada kapasiti. Secara tidak langsung, penerbangan itu dijangka membawa lebih 2,000 pelancong Finland ke negara ini.
Berdasarkan sambutan menggalakkan diterima daripada pusingan penerbangan tempahan khas ini, Lomamatkat Oy berhasrat mengadakan penerbangan mingguan ke Pulau Pinang untuk musim cuti berikutnya.
Finland adalah antara negara utama yang menyumbang kepada angka pelancong ke Malaysia. Walaupun mempunyai jumlah penduduk yang kecil iaitu kira-kira 5.2 juta orang, negara ini mencatatkan angka yang tinggi bagi jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Malaysia turut merekodkan jumlah kedatangan pelancong Finland yang menggalakkan. Ini dapat dilihat menerusi peningkatan tiga digit daripada 11,041 orang pada 2003 kepada 34,144 pada 2007.
Sepanjang tempoh Januari dan Oktober tahun ini pula, Malaysia sudah menerima 18,595 pelancong dari negara berkenaan.
|
|