Bersanding di TGCR
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
SEJAJAR dengan peningkatan taraf hidup warga kota, pasangan raja sehari hari ini gemar memilih lokasi yang lari daripada gaya konvensional untuk resepsi mereka.
Pilihan tempat kini tidak hanya terhad kepada restoran, dewan atau hotel selain rumah pengantin, tetapi kini meliputi lokasi luar seperti dalam taman, tepi pantai atau di kelab golf ternama.
Rumah kelab Tropicana Golf & Country Resort (TGCR), Petaling Jaya umpamanya menyediakan lokasi terbaik dengan pelbagai tema bagi meraikan pasangan pengantin baru. Diiktiraf sebagai rumah kelab terbesar di Malaysia, ia menjanjikan panorama menarik dengan latar hijau padang golf 27 lubang di pinggir ibu kota.
Setiausaha Eksekutifnya, Norazita Shahlasun, berkata selain dewan utama yang boleh memuatkan sehingga 600 tetamu, pengantin juga boleh memilih untuk mengadakan majlis resepsi di beberapa lokasi luar termasuk di laman Spanish Courtyard atau sekitar kawasan kolam renang.
"Kami sudah mengadakan beberapa perkahwinan India di laman Sepanyol ini yang boleh memuatkan sehingga 200 tetamu. Selepas majlis perkahwinan mengikut ritual agama di laman ini, resepsi boleh diadakan di sekitar kolam renang dan berdepan pemandangan indah padang golf.
"Keluarga tidak perlu bimbang kerana majlis luar seperti ini boleh memuatkan sehingga 1,300 tetamu pada satu-satu masa. Tetamu pula tidak perlu pening kepala mencari parkir kerana ada kawasan letak kenderaan yang luas disediakan secara percuma," katanya.
Tidak hanya teruja dengan pelbagai pilihan hidangan disediakan, tetamu juga pasti terpesona dengan gaya vila Sepanyol yang menjadi teras seni bina rumah kelab yang sudah lebih lima kali menggondol anugerah Rumah Kelab/Kemudahan Terbaik undian pembaca majalah Golf Malaysia.
Semangat Mediterranean ini jelas terlihat pada penggunaan lantai granit, landskap hijau dilengkapi kolam pancuran air dan chandelier antik tiga tingkat dari kubah di sayap utama. Aspek perkhidmatan juga menjadi resipi kejayaan pusat peranginan golf terkemuka negara walaupun sudah beroperasi lebih 15 tahun lalu.
Norazita berkata, pihaknya mengamalkan pendekatan fleksibel dengan mengadakan perbincangan dengan pelanggan bagi memastikan kehendak dan bajet selari dengan tema dan lokasi majlis bagi meraikan hari bahagia pasangan pengantin.
"Pakej kami hanya menyediakan perkara utama membabitkan pelamin, hiasan, bunga, kek, penggunaan sistem bunyi dan permaidani merah. Bagaimanapun, pengantin boleh membawa peralatan tambahan seperti kerusi untuk menyesuaikannya dengan tema majlis mereka.
"Jika mahu lebih meriah, kita boleh mencadangkan membuka gerai kecil yang menyediakan makanan tradisional, barbeku atau pencuci mulut. Untuk kemudahan ahli keluarga pula, kami menyediakan bilik persalinan untuk mereka mengadakan persiapan saat akhir," katanya.
Rumah kelab TGCR kini menawarkan pakej perkahwinan idaman pada harga RM460, RM510 atau RM560 untuk meja 10 orang. Tempahan minimum untuk 25 meja. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-7804888 sambungan 141/142/106/155.
>Info Kunjungi rumah kelab ini untuk pesta barbeku ditawarkan pada harga RM42 ++ (ahli) atau RM46 ++ (bukan ahli), antara jam 6 petang hingga 10.30 malam, setiap Sabtu. Bufet berkonsep gerai pula menanti pengunjung pada setiap Ahad yang ditawarkan pada harga RM30++ untuk ahli dan RM35 ++ (bukan ahli). Bufet berkonsepkan dapur terbuka diadakan antara jam 6.30 petang hingga 10.30 malam.
Tropicana Golf & Country Resort Jalan Kelab Tropicana 47410 Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan Malaysia E-mel : gm@tropicanagolf.com http://www.tropicanagolf.com/
|
|