Mari lepas penyu di Impiana Cherating
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my
APA kata waktu hujung minggu dihabiskan dengan bersantai di pantai pilihan terkenal di timur semenanjung dengan persekitaran cantik, bersih serta mendamaikan sambil bermain pasir halus yang memutih di gigi air.
Salah satu pusat peranginan yang menawarkan pelbagai pakej percutian menarik ialah Impiana Resort Cherating (IRC) yang terletak kira-kira 45 kilometer (km) atau kurang 40 minit dari pusat bandar Kuantan.
Pengurusnya, Ganesan Marimuthu, berkata IRC sentiasa mempelbagaikan aktiviti bagi kepuasan tetamu termasuk program pelepasan anak penyu dengan kerjasama Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating (PPSP).
IRC bertaraf empat bintang memiliki pesisiran pantai yang cukup menarik dengan batuan pasir halus memutih sepanjang gigi air dalam lingkungan 3.5 km.
Ia berhampiran pantai Cherating yang menjadi pusat sukan luncur layar terkenal bertaraf dunia.
Dengan keluasan 14 hektar, ia menawarkan 121 bilik deluxe, superior deluxe dan suite yang semuanya dibina menghadap ke laut, membolehkan pengunjung menyaksikan pemandangan indah matahari terbit.
JAMU SELERA
Tetamu boleh menikmati apa saja hidangan yang dihajati bermula daripada masakan tradisional hingga ke masakan barat manakala di Fun Pub, pengunjung boleh menikmati minuman dan koktel kegemaran.
Pelita Lounge pula menyediakan pelbagai jenis masakan mengikut cita rasa pengunjung manakala sesetengah hidangan berkenaan pula tidak ditemui di pusat peranginan lain di negara ini. Tambah menarik apabila dapat menikmati hembusan angin pantai sambil menikmati minuman petang di tepi kolam renang.
KEMUDAHAN PERSIDANGAN
IRC menawarkan enam bilik lengkap dengan kemudahan audio visual yang boleh memuatkan antara 20 dan 500 peserta pada satu-satu masa.
Ibu bapa tidak perlu risau mengenai keselamatan anak-anak kerana IRC menyediakan tempat bermain 'comel' dan unik untuk kanak-kanak sebagai daya tarikan mereka.
IRC turut menyediakan perkhidmatan lain seperti parkir yang luas, surau, khidmat limosin ke lapangan terbang, pusat tukaran wang, pusat khidmat pelanggan, pengesahan tiket penerbangan dan kelab kanak-kanak.
AKTIVITI MENARIK
Bagi pengunjung yang gemar aktiviti lasak dan bersantai, mereka boleh berbuat demikian di kolam renang dan jakuzi, trek joging, karaoke serta gelanggang tenis dan ping pong.
Di sebelah malamnya pula, pelancong berpeluang mendengar alunan muzik tradisional dipersembahkan kakitangan di restoran bersebelahan kolam sambil menikmati pelbagai makanan enak termasuk cita rasa tiga negeri, Terengganu, Pahang dan Kelantan.
>Info
Impiana Resort Cherating (IRC)
KM 32, Jalan Kuantan/Kemaman
26080, Pahang
Tel: 09-5819000
Faks: 095819090
http://www.impianacherating.com/
|
|