Operasi pulihara terumbu karang
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
MENERUSKAN tradisi sambutan Hari Pembersihan Antarabangsa, Hotel & Resort Berjaya kembali menganjurkan program pembersihan membabitkan lebih 100 peserta di Pulau Redang, baru-baru ini.
Tahun ini peserta yang terdiri daripada sukarelawan dan penyelam membawa naik 442 tapak sulaiman jenis mahkota berduri (Acanthaster planci) - spesies marin yang boleh mengganggu ekosistem marin jika populasinya tidak dikawal.
Sesuatu yang tidak menghairankan apabila kumpulan sama turut membawa pulang 20 tin minuman aluminium, 25 botol plastik, tali rosak sepanjang 200 meter dan 15 beg plastik yang ditemui di beberapa tapak selam skuba utama.
Sebelum itu, penyelam yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan bertolak dengan bot masing-masing pada awal pagi ke beberapa lokasi termasuk Berjaya Redang House Reef, Mak Simpang, Chagar Hutan, Turtle Bay dan Bahagia Wreck.
Kumpulan bukan penyelam pula ditugaskan untuk membersihkan kawasan pesisiran pantai yang panjang.
Menurut Penolong Pengurus Besar, Berjaya Redang Beach Resort, Sonny Lim, program terbabit bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga hidupan marin bagi mengekalkan sistem ekologi yang lebih baik pada masa hadapan.
"Bayangkan Pulau Redang tanpa keindahan terumbu karang, kelangsungan hidupan marin ini akan gelap sekali gus mengakibatkan kita kehilangan tarikan pelancongan.
"Kita memahami kepentingan menjaga keseimbangan antara aktiviti dan alam sekitar dan kita mensasarkan untuk mendidik lebih ramai orang mengenai usaha pemuliharaan marin setiap tahun menerusi penganjuran program seperti ini," katanya.
Program syarikat itu tahun ini turut mendapat kerjasama daripada Berjaya Air sebagai penerbangan rasmi, Sony Malaysia, Reef Check Malaysia, Redang Reef Rangers, Padi Project Aware dan Majalah OK!
Turut memeriahkan acara tahun ini adalah barisan selebriti termasuk Elaine Daly, Azura Zainal, Jehan Miskin, Jonathan Putra dan Hansen Lee.
Semua selebriti terbabit diterbangkan Berjaya Air menerusi penerbangan terus dari Kuala Lumpur dan Singapura ke Pulau Redang.
Lim berkata, pihaknya mendapat sokongan padu daripada sukarelawan pusat selam skuba di seluruh Pulau Redang dan beberapa individu yang mengabadikan sebahagian besar hayat mereka terhadap usaha melindungi terumbu karang di pulau peranginan itu.
"Selain daripada projek pembersihan terumbu karang, kami berbangga kerana rata-rata peserta pulang dengan maklumat mengenai karangan laut yang terdedah kepada pelbagai ancaman dan apa yang perlu dilakukan bagi menanganinya.
"Reef Checks umpamanya membantu menerangkan kepada penyelam supaya lebih berhati-hati apabila berada di dasar laut bagi mengelakkan sebarang kerosakan yang boleh memusnahkan terumbu karang.
"Mungkin ramai yang kurang mengetahui bahawa sentuhan lembut tangan manusia juga boleh mengakibatkan sesetengah karangan laut mati akibat jangkitan dalam tempoh yang singkat," katanya.
|
|