Nor Mahiran cabar diri sendiri
Oleh Noriah Idris
 |
LEBIH 15 tahun melakar pengalaman sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan beberapa syarikat rakaman gergasi, Nor Mahiran Yusoff, 40-an jarang tersasar dalam bidang dipilih. |
LEBIH 15 tahun melakar pengalaman sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan beberapa syarikat rakaman gergasi, Nor Mahiran Yusoff, 40-an jarang tersasar dalam bidang dipilih.
Dulu namanya amat sinonim dengan dunia hiburan justeru mempopularkan ramai artis tersohor sehingga mencipta nama sebagai PR disegani.
Biarpun kini membabitkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan seperti rekaan fesyen selain aktif dalam perniagaan jualan langsung (MLM), dia tidak pernah melupakan dunia seni yang pernah membawanya melakar nama tersendiri.
Sehingga kini anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mengakui masih aktif mengurus berkaitan acara atau majlis hiburan.
"Selepas bersara pada tahun 2004, saya menubuhkan Mahir Entertainment & Production dan pernah mengadakan 12 acara besar membabitkan artis terkenal.
"Pada saya, melakukan kerja sendirian dari jual tiket, jual meja hingga berlangsungnya majlis yang gah semuanya hasil penat lelah saya.
"Ibarat kata, sayalah kuli dan juga tauke tetapi semua itu berlangsung dengan jaya dan pengalaman itu memberi makna besar kepada saya," katanya.
Darah berniaga yang mengalir daripada keluarganya membuatkan Nor Mahiran bersandarkan keyakinan titik tolak penting dalam sesuatu adalah usaha yang tidak mengenal jemu.
"Sebenarnya kebanyakan adik-beradik saya masing-masing memiliki perniagaan sendiri dalam pelbagai bidang.
"Sebagai anak bongsu dalam keluarga, saya sendiri membina impian untuk berjaya dengan cara saya.
"Turut didorong keinginan berjaya, saya lalu mengembangkan idea bersama kakak kerana yakin mampu mengembangkan lagi garapan idea kami," katanya.
Dua kakaknya, Umi Kalsom dan Asiah berpengalaman sebagai penasihat undang-undang dan sumber manusia di syarikat korporat.
Bagi menjadikan syarikatnya lebih berdaya saing, Nor Mahiran yang tidak tahu duduk diam semakin galak mengatur strategi.
Mensasarkan pasaran dalam negara, dia kini menjelajah ke pelosok negeri hingga ke Terengganu, Johor Bahru dan negeri lain melebarkan perniagaan.
"Saya turut berhasrat menjualnya secara borong atau pukal kepada orang ramai terutama dalam mengembangkan perniagaan saya berasaskan baju kurung.
"Selain menjual pakaian siap, Rekaan Jelita juga bersedia menerima tempahan orang ramai tanpa mengira waktu sama ada musim perayaan atau sebaliknya.
"Untungnya butik baju tradisional ini justeru tidak mengira musim, sentiasa ada permintaan atau pasaran dan penggemar tersendiri," katanya.
Baginya, mempelbagaikan jenis perniagaan antara perkara yang sering menggerak kebolehannya.
Sifat yang suka mencabar diri sendiri menyebabkan dia turut menceburi MLM dengan menjadikan jualan susu alphalipid berasaskan kolustrum dari New Zealand sebagai pertaruhan seterusnya.
"Dalam kamus hidup saya, tiada istilah jemu, bosan atau putus asa. Selagi kudrat masih ada, saya bersandarkan kepadanya untuk mengembangkan bakat yang ada.
"Saya beruntung kerana kemahiran dalam ilmu komunikasi terpenting buat saya.
"Bersandarkan kajian terhadap kebanyakan orang yang berjaya dalam perniagaan kerana mempertaruhkan komunikasi yang tinggi dan sebagai pengamal dalam bidang itu lebih 20 tahun, ia pemangkin bagi segala jenis perniagaan diceburi," katanya.
>Profil
NAMA: Nor Mahiran Yusoff
JAWATAN: Pengarah & pemilik Rekaan Jelita Enterprise, Bangunan Umno Selangor (sebelah Pusrawi), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Sebaran Am, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Bongsu daripada 13 beradik
|