Mariyanti pakar seni
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
 |
KEGIGIHANNYA mengejar impian tidak dinafikan. Pengarah Seni dan Penolong Pengarah di Cats Idea (M) Sdn Bhd dan turut menjadi Pengarah Arcadian Space Creations Sdn Bhd ini memang seorang yang kreatif dan sentiasa tampil dengan pengisian idea bernas. |
>Profil
NAMA: Mariyanti Muhammad Hassan
JAWATAN: Pengarah Arcadian Space Creations Sdn Bhd, Bangsar Park, Kuala Lumpur.
STATUS: Bujang
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Industri, United Kingdom
KEGIGIHANNYA mengejar impian tidak dinafikan. Pengarah Seni dan Penolong Pengarah di Cats Idea (M) Sdn Bhd dan turut menjadi Pengarah Arcadian Space Creations Sdn Bhd ini memang seorang yang kreatif dan sentiasa tampil dengan pengisian idea bernas.
Sifatnya yang suka meneroka nilai terbaru dalam rekaannya melonjakkan wanita ini berjaya dalam kerjayanya dengan melakar sejarah tersendiri dengan garapan idea hebat.
Menurut Mariyanti Muhammad Hassan, 32, dari Meru, Klang, Selangor, setiap yang dilakukan pasti memerlukan penelitian sewajarnya dan tidak dilakukan sambil lewa.
Untuk itu, tidak dinafikan lakarannya baik dalam dunia pengiklanan atau hiasan dalaman terbukti kehebatannya kerana menempah kejayaan demi kejayaan.
“Saya berhasrat melebarkan lagi perniagaan dalam bidang hamper bukan untuk bersaing dengan orang lain.
“Saya memang meminati bidang ini kerana ia memberi kepuasan tersendiri,” katanya.
Mengusahakan syarikat itu bersama pembantunya, Aidura Mohd Any, 28, graduan bidang seni grafik dari United Kingdom, beliau mengakui bidang berkenaan sesuai dengan jiwa mereka.
“Sebenarnya kami berkongsi minat yang sama ketika menuntut di London, membabitkan diri dalam membuat gubahan, kek cawan dan biskut dengan bekerja sambil belajar.
“Pengalaman itu amat bermakna lalu kami manfaatkan apabila kembali ke tanah air kerana memikirkan tidak ramai Bumiputera mengusahakannya secara komersial.
“Walaupun baru setahun jagung di bidang ini, ia memberi kepuasan kerana ia ada kaitan dengan nilai seni yang menuntut daya kreativiti tersendiri,” katanya.
Selain menjulang syarikatnya untuk menyaingi syarikat gergasi dalam pembikinan gubahan hamper, nawaitu Mariyanti bukan sekadar memberi kepuasan buat diri sendiri.
Sebaliknya, ia lebih didorong keinginannya membantu golongan yang daif terutama ibu tunggal bagi mencungkil bakat mereka untuk dikomersialkan.
“Sebenarnya, kebanyakan gubahan hamper saya dihasilkan oleh 10 ibu tunggal yang kami pilih untuk diterapkan ilmu dalam penataan gubahan berseni.
“Bakat dan kesungguhan yang dimiliki mereka wajar diketengahkan kerana bukan saja untuk tujuan komersial bahkan turut membantu meringankan beban yang ditanggung dalam membesarkan anak-anak tanpa bantuan sesiapa.
“Sekurang-kurangnya apabila melakukan semua ini, nasib golongan ibu tunggal terbela kerana tidak mahu mereka mensia-siakan peluang dan bakat mereka begitu saja.
“Kami juga mahu mengubah pandangan serong masyarakat terhadap mereka,” katanya yang menempatkan kedai khusus untuk gubahan hamper itu di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Melihat hasil gubahan menerusi sentuhan menarik dan unik di sebuah banglo eksklusif di Bangsar Park, Kuala Lumpur, tidak hairan jika karyanya sering diintip syarikat korporat untuk menempah gubahan hamper eksklusifnya.
Sebagai sebuah syarikat baru, beliau berbangga kerana sambutan diterima amat menggalakkan.
“Kalau dulu kita lihat gubahan hamper di mana-mana pasar raya digubah dengan balutan plastik yang lama dan tidak menarik, kini bagaikan arah aliran baru apabila semua orang bersaing untuk menghasilkan persembahan hamper menarik.
“Dalam masyarakat moden, perkembangan dalam lakaran hamper juga mesti seiring.
“Bahkan, kita harus sentiasa mencuba dan meneroka nilai baru sesuai dengan cita rasa masyarakat yang sukakan sesuatu yang kontemporari, moden dan eksklusif.
“Kami yakin perniagaan ini akan terus berkembang kerana kami mencipta rekaan hamper mengikut kehendak pelanggan,” katanya.
|