Jeans Lee tiada tandingan
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my
JIKA ditanya kepada muda-mudi hari ini jenis pakaian yang digemari, pastinya mereka menyatakan jeans sebagai jawapannya.
Selain sesuai digayakan dengan pelbagai jenis fesyen pakaian, jeans senang dijaga berbanding fabrik lain.
Fabriknya yang tahan lasak turut menjadikan jeans pilihan utama masyarakat hari ini tidak kira peringkat umur.
Biarpun terdapat pelbagai jenama di pasaran, bagi masyarakat negara ini, jenama Lee antara yang menjadi pilihan kerana mutu dan keistimewaannya
Pengurus Besar Jualannya, SC Tan, berkata jenama berkenaan mula diperkenalkan pada 1956 dan dibawa masuk ke negara ini oleh pemegang lesen tunggalnya iaitu Anglo Apparel Co Sdn Bhd.
Menurut Tan, sejak awal pengenalan sehingga kini, jeans Lee sudah mengalami beberapa fasa perubahan untuk memastikan rekaannya dapat memenuhi cita rasa penggemarnya yang kebanyakannya dalam lingkungan umur remaja hingga pertengahan.
Biarpun jenama berkenaan turut mengeluarkan barangan aksesori seperti tali pinggang, stoking, baju-T dan jaket, tumpuan utama Lee ialah kepada rangkaian seluar jeans.
Katanya, semua barangan Lee menggunakan fabrik serta bahan yang bermutu tinggi dan ia terbukti tahan lama berbanding jenama lain.
Dia berkata, dalam menentukan sesuatu aliran jeans terkini, pihaknya menjalankan pelbagai kajian serta rujukan menerusi Internet dan majalah fesyen terbaru.
“Pasukan pereka kami yang terdiri daripada lima anak muda yang meminati dunia fesyen serta berpengalaman luas akan menentukan imej jenama yang tersendiri dalam setiap barangannya.
“Berdasarkan kajian, muda-mudi hari ini lebih menggemari jeans yang mempunyai teknik basuhan dan luntur kerana dianggap lebih cantik serta mempunyai keunikan tersendiri.
“Jeans Lee mempunyai pelbagai pilihan warna yang menarik antaranya biru, biru tua, biru gelap, biru muda, putih, hitam, coklat dan coklat muda.
“Tetapi, seperti lazimnya, warna biru tua dan biru muda yang sering menjadi pilihan kerana ia sinonim dengan warna jeans asli,” katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya, di Selayang Baru, Selangor, baru-baru ini.
Dalam pada itu, menyentuh aspek ukuran pinggang masyarakat di negara ini, Tan berkata, saiz berkenaan boleh berubah bergantung kepada jenama yang dipakai.
Ketika membeli seluar jeans, antara faktor yang perlu diambil kira ialah saiz pinggang dan tahap keselesaan yang diinginkan.
“Ukuran pinggang seseorang amat penting untuk membantu mereka memilih jeans yang sesuai dan cantik dipandang. Kesilapan ketika memilih jeans boleh menyebabkan penampilan seseorang kelihatan janggal dan tidak menarik.
“Sehingga kini, Lee mempunyai lapan jenis potongan jeans iaitu lurus (straight cut), lurus biasa (regular straight), lurus ramping (slim straight), lurus dan longgar (lose & straight), ramping sempit (slim narrow), ramping, trim fit dan regular fit
“Namun, dalam semua jenis berkenaan, jeans jenis trim fit dan regular fit yang paling mendapat sambutan dan laris di pasaran ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Tan berkata, sehingga kini jenama berkenaan mempunyai lebih 200 pengedar di seluruh negara dan Brunei.
Kata Tan, menyedari permintaan pelanggan yang semakin meningkat, pihaknya turut membuka kedai konsep yang pertama di Sutera Mall, Johor Bahru, awal Ogos lalu.
Menerusi pembukaan kedai konsep berkenaan, penggemar setia jenama itu di selatan tanah air berpeluang mendapatkan lebih banyak pilihan koleksi terbaru Lee.
“Jenama ini mempunyai barangan yang lengkap dari hujung kaki ke kepala dengan pelbagai pilihan rekaan terkini dan menarik.
“Selain berkualiti tinggi, jenama lain juga tidak mampu bersaing dengan kami kerana untuk jeans, harganya amat berpatutan iaitu sekitar RM139 hingga RM219 saja,” katanya.
|