Aikido seni bela diri paling lembut
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
SENI bela diri adalah satu kesenian yang timbul sebagai cara seseorang itu bertahan apabila diserang musuh.
Menurut sejarah, apabila peperangan berkurangan dan penggunaan senjata moden mula digunakan berleluasa, seni bela diri mula berkembang di kalangan orang awam.
Menyedari manfaat seni bela diri, Akademi Aikido Malaysia mengorak langkah mencipta modul ke arah membentuk insaniah di kalangan pelajar.
Bertempat di No: 10A, Medan Pusat Bandar 1, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor, akademi itu mempertaruhkan seni bela diri itu dalam menghasilkan kecemerlangan.
Ketua jurulatihnya, Suzalie Mohamad, berkata akademi itu melatih anak seusia empat tahun bagi persiapan mental dan fizikal.
"Seni bela diri aikido antara elemen yang diterapkan kepada pelajar dengan menerapkan beberapa skil latihan sebagai usaha pengukuhan jiwa mereka.
"Konsep aikido adalah keharmonian dan kasih sayang.
"Seorang aikidoka akan menggunakan kekuatan si penyerang untuk melawan balik.
"Dengan ini, aikido membuatkan seseorang mengubah kekuatan penyerang sehingga tidak menjadi ancaman," katanya.
Keistimewaan aikido ialah konsep shochu-ryoku atau tenaga yang difokuskan ke satu titik dengan menggunakan kekuatan pinggul, kaki, lutut, perut dan seumpamanya lalu disatukan untuk satu sasaran.
"Aikido melatih koordinasi antara jiwa dan badan seseorang sehingga lebih integrasi dalam menghadapi serangan dan dianggap seni bela diri paling lembut kerana ia bersifat bertahan," katanya yang memberitahu seni itu diperkenalkan di negara ini pada 1970-an oleh pemimpin dari Sarawak.
Sehingga kini, ada kira-kira 180 murid mengikuti latihan aikido.
Beberapa pelajar ditemui mengakui aikido menguatkan ketahanan mental dan fizikal.
Aqil Arafat Azwan, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Beranang, Selangor, mengakui seronok mempelajari aikido kerana melatih pemikiran dan tubuh dalam gerakan teknik.
Bagi Mohd Yusri Kamrudin, aikido amat bersesuaian dengan jiwanya yang sukakan sesuatu yang tangkas tetapi penuh kelembutan.
Jika ingin maklumat lanjut mengenai seni aikido ini, layari www.ampac-academy.com.
|