Sup bihun istimewa
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
KEENAKAN aneka mi atau bihun menjadi satu kegilaan kepada penggemar makanan berkenaan.
Mereka yang fanatik dengan makanan sedemikian bagaikan sudah ada tempat tertentu sebagai persinggahan mereka.
Bagi mereka yang sinonim dengan Utara Coffee House di Hotel Armada, Petaling Jaya, pastinya sudah tahu makanan istimewa yang menjadi taruhan hotel berkenaan dalam usaha menarik pelanggan berkunjung.
Ini termasuk sup bihun yang disajikan chef di hotel berkenaan.
Untuk pertanyaan mengenai menu atau sebarang tempahan, hubungi 03-79546888 sambungan 4557.
Sup bihun
Bahan-bahannya:
500 gram bihun
500 gram daging
2 paket rempah sup
4 keping tauhu (goreng dan hiris nipis)
1 pokok daun sup
1 pokok daun bawang
3 cili merah (hiriskan halus)
5 cili api (hiriskan halus)
Bawang goreng
5 biji limau kasturi (belah dua dan buang biji)
4 biji telur rebus (belah dua)
Minyak untuk menumis
Garam
1 sentimeter (sm) kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
5 biji bunga cengkih
Bahan tumbuk
2 sm halia
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 paket lada hitam (mengikut kesesuaian)
Cara-cara memasak:
1. Rendamkan bihun sehingga lembut dan celurkan. Toskan.
2. Daging direbus dengan bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis dan buah pelaga sehingga lembut. Keluarkan daging, hiris nipis dan kecil.
3. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk sehingga wangi.
4. Masukkan rempah sup yang sudah dibancuh dengan sedikit air dan kacau sehingga naik minyak.
5. Masukkan semula air rebusan sup dan biarkan reneh sehingga mendidih. Masukkan garam.
6. Untuk menghidang, masukkan bihun dalam mangkuk dan tuangkan sup.
7. Taburkan bawang goreng, hirisan daun sup dan bawang, telur rebus, daging hiris dan limau kasturi.
|