Kecaman, denda tidak beri manfaat
KANAK-kanak yang mengalami tekanan emosi mungkin kurang selera makan, loya, muntah, sakit perut, sakit kepala, pucat dan tidak aktif.
Ada juga yang tidak bermaya, lelah, sukar tidur malam, kencing malam, menggigit kuku dan menarik rambut.
Jika tiada unsur penyakit berbahaya, keadaan psikososial anak perlu dinilai dengan terperinci. Kemungkinan besar, dia menghadapi tekanan emosi.
Pertimbangan harus terlebih dulu diberikan kepada kemungkinan tanda terbabit disebabkan penyakit fizikal sebelum ia dihubung kait dengan tekanan emosi.
Cara menghadapi cabaran hidup berbeza antara individu. Ia bergantung kepada personaliti atau perwatakannya yang sudah dibentuk sejak di peringkat bayi dan mungkin sejak dari dalam rahim lagi.
Selain pengaruh baka, pengalaman dari semasa ke semasa sentiasa mengubah, mengukuh atau menghilangkan sesuatu ciri perwatakan yang ada pada dirinya.
Setiap individu mempunyai kebolehan untuk mengatasi kelemahannya. Begitu juga dengan kanak-kanak sedang membesar yang mudah dibentuk pemikirannya melalui pendidikan dan contoh positif.
Tabiat kurang sihat dan negatif boleh menjejaskan prestasi kanak-kanak. Contohnya, kanak -kanak berusia 10 tahun sering mengeluh tidak boleh tidur malam dan resah untuk menghadapi peperiksaan.
Keadaan ini menunjukkan pengalaman dilaluinya sejak kecil tidak banyak mengajarnya membina keyakinan diri. Mungkin ada yang menyatakan dia kurang pandai sejak di tahun satu lagi.
Tetapi apabila dinilai, prestasi inteleknya didapati setaraf dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Jika dia diberi perhatian yang lebih sejak dari awal lagi, prestasi akademiknya mungkin akan lebih baik.
Tetapi program pemulihan awal bagi membantunya dalam pelajaran tidak dapat diatur dengan berkesan lantas prestasinya semakin merosot dari setahun ke setahun. Ini semakin menjejaskan keyakinan dirinya. Dia akan mudah tertekan apabila berhadapan dengan sesuatu cabaran.
Kecaman dan denda kerana prestasi akademik yang tidak memuaskan tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat malah akan lebih menyinggung perasaannya. Tidak hairan jika kanak-kanak sebegini sering mengalami tekanan emosi.
Anak memerlukan galakan, sokongan dan tunjuk ajar daripada guru yang arif supaya dia dapat maju dalam pelajarannya.
Ibu bapa pula perlu memahami dan mengenali ciri tekanan emosi di kalangan anak-anak berkenaan. Kadangkala, keluhan di kalangan kanak-kanak itu perlu diperiksa dengan teliti untuk mengesan punca tekanan.
|