» Berita Utama » Setempat » Arena » Bisnes » Mahkamah
» Bestari » Vroom » it@Metro » Santai » Ad-din » Dekotaman » Ekspresi » Hati
» Pakar Sakit Puan » Soal Jawab IT » Mekanik Anda » Dang Setia » Fikrah Dr.Salam » Dr.Sakit Tuan » Tip & Trik » Anda Musykil Dr.Mashitah Jawab
» Isnin » Selasa » Rabu » Khamis » Jumaat » Sabtu » Ahad
» RSS Feeds » Waktu Solat » Versi Digital » Sejarah Metro » Komen Anda
» Sidang Pengarang » Metroneka & Iklan Web » Team Online
» Berita Harian » New Straits Times » Business Times
» Am » Hartanah » Kerjaya » Auto
myMetro » Hati
Hati

Di mana keluarga kami?





REBECCA Nyiringindi melilau di kawasan persekitaran kem pelarian di timur Congo, mencari hanya seorang di kalangan ribuan mereka yang kelaparan dan tidak berumah itu.

"Nama ibu saya ialah Alphonsine," kata kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu sambil menghisap jarinya.

"Dia rendah saja. Kulitnya sangat gelap."

Rebecca antara lebih daripada 150 kanak-kanak yang mencari ibu bapa masing-masing di sebuah kem di Kibati minggu lalu, hanya beberapa batu dari lokasi tentera dan pemberontak Tutsi yang mengawal barisan hadapan itu.



Keadaan berkenaan turut menimbulkan kebimbangan mengenai peperangan yang mungkin kembali berpanjangan di rantau yang kaya dengan hasil mineral itu.

Kira-kira 70,000 pelarian melarikan diri ke Kibati sejak pergaduhan semakin rancak di timur Congo pada Ogos lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 250,000 kehilangan tempat tinggal biarpun dengan kehadiran pasukan pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi bantuan mengambil kesempatan keadaan pergaduhan yang agak reda minggu ini untuk pulang ke kem berhampiran barisan hadapan dan meneruskan kerja mendaftarkan kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa masing-masing ketika konflik di wilayah Kivu Utara, Congo itu.

Sebahagian kanak-kanak itu nyata sekali dalam keadaan trauma. Zawadi Bunzigiye, 6, membelek gaun birunya yang comot dan berkata dalam suara seolah-olah berbisik: "Saya takut peluru."

Kebanyakan kanak-kanak melarikan diri sehelai sepinggang. Sewaktu pergaduhan tercetus pada 27 Oktober di bandar Kibumba yang dikawal golongan pemberontak, Rebecca berkata, dia melarikan diri dengan berjalan kaki sambil ditemani kambing milik keluarganya.

"Tetapi saya hilang kambing itu. Warna kambing saya perang dan kambing itu besar," katanya.

Menurutnya, ibu bapanya memintanya ke kem itu dan yakin dia akan berada dalam keadaan selamat di situ.

"Askar datang ke tempat kami. Saya begitu takut. Saya bersembunyi di sebelah menara radio. Ibu bapa saya kata, 'pergilah, nanti kami akan menyusul.' Saya pun berjalan sepanjang jalan dan saya tak melihat mereka lagi."

Tiada sekolah di kem terbabit dan kanak-kanak berlari-larian sepanjang hari. Pada waktu malam, penghuni kem hanya bercakap secara berbisik kerana bimbang manakala askar yang mabuk pula menggeledah kawasan, merogol wanita dan gadis muda.

Neema Maombi, 8, melarikan diri dari bandar utara Nyanzale, kira-kira 60 batu dari ibu kota wilayah Goma, pada awal September bersama kakaknya, Solange, 16.

"Saya dengar bunyi peluru, kemudian saya lari," katanya waktu menceritakan bagaimana dia terjebak dalam konflik terbabit.

Diminta memberi gambaran mengenai ibu bapanya, kanak-kanak terbabit hanya menarik baju-T berwarna biru yang dipakainya sambil berkata: "Ibu saya kecil orangnya. Ayah saya pula rendah.

"Ibu saya pandai memasak seperti kentang dan kacang," katanya sambil tersenyum malu.

Unicef melaporkan, beratus-ratus kanak-kanak terpisah daripada keluarga mereka sejak pergaduhan tercetus pada Ogos lalu. Secara keseluruhan, lebih daripada 1,600 kanak-kanak di wilayah terbabit giat mencari ibu bapa masing-masing.

Bagaimanapun, hanya 17 kanak-kanak sudahpun ditemukan semula dengan keluarga masing-masing dalam tempoh tiga hari di Kibati, baru-baru ini.

Mereka yang tidak bertemu dengan ibu bapa masing-masing diambil keluarga lain sambil terus menanti.

"Kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga mereka itu biasanya terdedah kepada pelbagai risiko termasuk penderaan, eksploitasi, keganasan dan diambil bekerja untuk kumpulan bersenjata," kata jurucakap Unicef, Jaya Murthy.

Kanak-kanak paling muda didaftarkan di Kibati berusia tiga tahun dan paling tua 17 tahun, menurut laporan Save the Children.

Usia mereka yang masih muda dan ketidakupayaan mereka untuk memberikan maklumat terperinci, ditambah dengan kekurangan laporan rasmi di kawasan luar bandar Congo itu, mengakibatkan keadaan lebih sukar untuk menjejaki keluarga kanak-kanak terbabit.

"Kami melakukan segala yang terdaya untuk mencari keluarga kanak-kanak ini.

"Tetapi kita bercakap mengenai berpuluh ribu orang yang melarikan diri. Bukan mudah mengesan ke mana mereka sudah pergi," kata Murthy.

Pekerja bantuan berkata, mereka merancang untuk mengambil gambar kanak-kanak terbabit dan menampalnya di kem dalam usaha membantu kanak-kanak itu disatukan dengan keluarga masing-masing.

Konflik di Congo terus memuncak dengan rasa benci yang terus membuak akibat genosid Rwanda pada 1994 di mana setengah juta puak Tutsi terbunuh. Lebih daripada sejuta puak pelampau Hutu yang turut serta dalam pembunuhan itu melarikan diri dari Rwanda ke Congo yang dianggap selamat.

Ketua pemberontak, Laurent Nkunda, yang berbangsa etnik Tutsi, menuduh kerajaan Congo tidak melakukan tindakan secukupnya bagi melindungi puak minoriti Tutsi daripada tentera Hutu. Pegawai kerajaan yang menerima rasuah dan tidak cekap serta tuntutan pihak lawan terhadap sumber mineral negara berkenaan, menyemarakkan lagi keganasan.

Agensi bantuan melaporkan, mereka prihatin terhadap keadaan kanak-kanak terbabit yang terdedah kepada kekurangan makanan berkhasiat dan penyakit.

Mencangkung di sisi aliran sungai yang keruh minggu lalu, seorang kanak-kanak lelaki menggunakan beg plastik untuk mengambil air dan terus minum isi kandungannya. Di hulu sungai pula, kanak-kanak sibuk bermain di air yang keruh itu.

Seorang kanak-kanak perempuan lalu di situ dengan tong air di tangannya bersama sebuah bekas air diikat di belakangnya dan satu lagi bekas air diimbangi di atas kepalanya.

Tidak jauh dari situ, kanak-kanak yang berusia tidak lebih daripada tiga tahun, hanya merayau di kalangan orang asing itu dengan pakaian comotnya. Penghuni kem berkata, mereka tidak tahu di mana ibu bapa kanak-kanak terbabit.

Seorang askar Congo yang mabuk pula menggeledah kem sambil meminta makanan dan wang daripada seorang wartawan.

Kanak-kanak kecil tadi memandang sekeliling dan merengek. Askar itu kemudian menjerit padanya supaya berhenti merengek dan si kecl itu mula menjerit ketakutan. - AP

Carian Artikel
Lain-lain artikel :




VARIASI

Ad-Din

lagi
it@Metro
lagi
lagi
lagi
lagi
lagi


 
MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (M) Berhad tracker