myMetro

Ninja baru besar, tegap

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

PEMINAT motosikal berkuasa tinggi boleh menarik nafas lega apabila pengedar motosikal gergasi Jepun, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan dua model terbarunya, Ninja 250R dan ER-6n yang popular di seluruh dunia.

Kawasaki Ninja 250R baru itu dijana enjin berkembar selari 249cc yang diadaptasikan daripada model Ninja ZX-10R dan ZX-6R, menjadikannya ahli keluarga Ninja berkenaan nampak lebih besar, rendah dan tegap.

Antara beberapa ciri Ninja 250R yang dipertingkatkan adalah sistem suspensi depan teleskopik, ekzos dua dalam satu yang membantu daya tork lebih baik, brek depan dan belakang berkelopak serta bahagian belakang yang lebih tirus dengan pelana berasingan.

Ini menjadikan Ninja 250R ini lebih sporty, bergaya dan seumpama sebuah motosikal bertaraf Supersport.

Paling menarik, harga yang ditawarkan RM19,889 adalah jauh lebih murah berbanding motosikal lain sekelas dengannya.

Sementara itu, Kawasaki ER-6n dijana dengan enjin berkembar selari 649cc selain kerangka 'Diamond' berprofil tinggi yang menghasilkan pengendalian mantap dan menakjubkan.

Direka dengan gaya kontemporari, ER-6n dijangka menjadi pilihan peminat untuk menukar motosikal mereka ke sebuah jentera yang lebih berkuasa.

ER-6n yang berciri 'Naked Bike' dilengkapi peredam bunyi '3-Way Catalyser' serba baru dengan teknologi pusat graviti yang meminimumkan ruang casis dan menepati piawaian Euro III.

Selain itu, reka bentuk lampu berkembar menegak menjadikannya kelihatan lebih agresif selain paparan meter berskrin LCD menjadikannya tampak menarik.

Walaupun ER-6n didatangkan dengan unit yang diimport sepenuhnya (CBU), Kawasaki menawarkan harga serendah RM27,989.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad