Perhimpunan VolkswagenTeks dan Gambar Zulfa Mohamadzulfa@hmetro.com.my KIRA-KIRA 200 pemilik kereta dan van Volkswagen 'berkampung' di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang di program Perhimpunan Volkswagen Wilayah Utara sempena Ekspo Usahawan Bumiputera 2008, baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Pemilik Volkswagen Pulau Pinang itu turut mencuri tumpuan pemilik Volkswagen dari Johor, Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Singapura. Pelbagai model Volkswagen baru dan lama diperagakan termasuk model yang jarang dilihat. Pemilik juga menyertai pertandingan kereta tercantik dan paling hodoh. Pengerusi kelab, Ahmad Abas, berkata perhimpunan itu bagi mengeratkan hubungan antara ahli selain membolehkan mereka bertukar pendapat. "Perhimpunan kali ini agak meriah kerana turut menarik peminat dari selatan tanah air. "Sebelum ini, kami berkonvoi ke Hatyai, Thailand; Kelantan, Taman Negara Pahang serta Pulau Kapas, Terengganu dan merancang ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu pada Ogos depan. "Kami turut mengadakan perjumpaan setiap bulan sejak enam tahun lalu di Taman Robina, Teluk Air Tawar," katanya. Pemilik Volkswagen model Karmann Ghia 34 1500cc, Nor Azlan Hashim, 41, dari Alor Star, Kedah, berkata dia menghadiri perhimpunan berkenaan kerana dapat bertemu ahli dari negeri lain. "Saya memang minat kereta antik dan menghadiahkan Volkswagen model Karmann kepada isteri, Norafidah Mahzan. "Model berkenaan edisi terhad keluaran 1965 dan hanya terdapat beberapa ratus unit di seluruh dunia," katanya. Dia juga mempunyai van Volkswagen model Combi yang mempunyai katil, dibeli daripada rakan dengan harga RM40,000. Teo Kok Chin, 67, dari Ipoh, Perak, berkata dia membeli Volkswagen model Beetle 1961 daripada seorang rakan berharga RM5,700 sebelum membelanjakan RM18,000 lagi untuk pengubahsuaian. "Saya memang minat kereta antik, setiap hari saya mencucinya kerana sayang. Ia macam isteri kedua saya," katanya. |