myMetro

Jaket, topi keledar percuma

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

BERITA baik kepada mereka yang masih mencari motosikal berkuasa sekitar 250cc apabila Naza Bikes Sdn Bhd me nawarkan jaket eksklusif Naza Blade dan topi keledar per cuma kepada 300 pembeli pertama model Blade 250 dan 250R yang dilancarkan, baru-baru ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin, berkata model Blade adalah sebuah motosikal popular selain menjadi model motosikal berkuasa tinggi pertama keluaran Naza Bikes.

“Blade antara model paling popular dalam rangkaian mo tosikal keluaran Naza Bikes dengan jualan lebih 2,000 unit sejak dilancarkan pada 2004.

“Pengenalan model terbaru ini bakal meningkatkan lagi jualan produk berdasarkan beberapa pembaharuan yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, Blade 250 adalah sebuah motosikal berciri ‘naked’ empat lejang dua silinder DOHC lapan injap berkuasa 249cc.

Antara ciri yang dipertingkatkan adalah meter digital, pemampan angin yang lebih bergaya serta corak baru yang lebih bergaya.

Bagi Blade 250R pula, jentera ala superbike turut meng gunakan enjin sama selain turut menampilkan beberapa pembaharuan seperti meter digital, lampu hadapan di perbaharui dan brek cakera hadapan berkembar.

“Susulan pelancaran dua model baru Blade ini, kami mensasarkan jualan 1,000 unit motosikal Blade tahun ini kerana percaya jenama ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

“Sehingga Mei lalu, sebanyak 400 unit motosikal Blade dijual dan yakin pengenalan model yang diberi wajah baru ini serta kenaikan harga minyak, permintaan terhadap motosikal ini akan meningkat,” katanya.

Model Blade 250 dan 250R adalah keluaran Hyosung Motor Co yang berpusat di Korea Selatan yang lebih dikenali sebagai Comet 250/250R.

Model berkenaan banyak dieksport ke pasaran antarabangsa dan popular di Australia, Perancis dan beberapa negara Eropah.

“Blade adalah motosikal yang menjimatkan minyak dengan kapasiti tangki yang boleh menampung 17 liter serta kuasa maksimum sehingga 160 kilometer sejam.

“Sempena pelancaran model terbaru ini, Naza Bikes me ngadakan promosi ke seluruh negara dengan menawarkan jaket eksklusif percuma Naza Blade dan topi keledar jenama SOL keseluruhannya bernilai RM1,500,” katanya.

Harga ditawarkan bagi model Blade 250R adalah RM18,100 tidak termasuk cukai jalan manakala Blade 250 berharga RM14,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Hanya dua warna ditawarkan iaitu merah dan hitam.

Naza Bikes yang ditubuhkan kira-kira lima tahun lalu, sudah melancarkan 13 model motosikal serta skuter berkapasiti 110cc hingga 650cc.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad