Konvoi ke Lata Berembun
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
EKSPEDISI kembara Kelab Sukan Bank Pembangunan (SME Bank) memberi peluang ahli beramah mesra selain aktiviti riadah yang menyihatkan.
Bermula di pekarangan SME Bank, Jalan Sultan Ismail, peserta bersama ahli keluarga masing-masing berkonvoi ke lokasi di Lata Berembun, Raub, Pahang.
Keletihan memandu selama tiga jam itu tidak terasa apabila deruman air terjun dan kicauan unggas menusuk telinga peserta ekspedisi berkenaan.
Perjalanan ke kem lokasi perkhemahan yang hanya boleh dilalui menggunakan jentera pacuan empat roda mengambil masa sejam.
Sebaik tiba, peserta mendirikan khemah serta melakukan persiapan termasuk mengadakan unggun api sementara ada di kalangan ahli keluarga peserta menikmati kesejukan air terjun Lata Berembun.
Menurut Ketua Ekspedisi, Nasir Sattar, program selama tiga hari itu sudah lama dirancang.
“Lata Berembun adalah satu tempat yang sangat menarik kerana keindahan dan kehijauan hutan yang masih segar dan kurang dikunjungi orang ramai.
“Ini menjadikan kawasan berkenaan sangat sesuai untuk aktiviti riadah,” katanya.
Menurutnya, pelbagai pengalaman ditempuhi sepanjang aktiviti berkenaan diadakan termasuk melakukan 'abseiling' iaitu menyusuri tali yang merentasi air terjun berkenaan.
“Saya yakin ahli kelab mendapat banyak pengalaman dalam ekspedisi ini,” katanya.
|
|