myMetro

Nissan GT-R sukar ditewaskan

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

BERAKHIRNYA perlumbaan Siri Antarabangsa Super GT Malaysia di Litar Sepang, baru-baru ini, memberi pelbagai kenangan manis kepada pasukan, pelumba dan penonton.

Yang pasti pasukan Woodone Advan Clarion GT-R paling ceria apabila jentera Nissan GT-R miliknya terbukti sukar ditewaskan dan mengekalkan kejuaraan dua kali bertu rut-turut.

Pelumba Brazil, Jaoa Paulo Lima de Oliveira berganding dengan bekas juara Le Mans, Seiji Ara yang memandu jentera berkenaan menamatkan perlumbaan 54 pusingan itu dengan catatan masa 1 jam 48 minit 26.947 saat.

Kedua-dua pemandu berpengalaman itu yang bermula di barisan kedua memintas Team Nissan Motul Autech GT-R yang mendominasi petak utama pada pusingan ke-50.

“Kami datang dengan penuh keyakinan untuk menang sekali lagi selepas muncul juara tahun lalu,” kata Ara yang menjadi pemandu kedua pasukan berkenaan.

Dia mengambil alih pemanduan daripada Oliveira pada pusingan ke-27 sebelum memintas pasukan Nissan Motul Autech GT-R di pusingan ke-50 dan menguasai perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Sementara itu, Oliveira mengakui perlumbaan tahun ini sangat sengit berbanding tahun lalu.

“Saya amat bangga dengan pencapaian ini kerana kami datang dengan harapan besar untuk menjuarai gelaran selepas mendapat penalti.

“Memang saingan daripada pasukan utama begitu men cabar,” katanya.

Pemandu Motul Autech GT-R, Michael Krumm dari Jerman dan gandingannya, pemandu Jepun Masataka Yanagida men duduki tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 48:29.36s.

Bagi kelas kelas GT300, gandingan Kota Sasaki dan Tetsuya Yamano dari pasukan Cusco Dunlop Subaru Impreza mudah menjuarai kategori terbabit.

Sasaki yang menjadi pemandu kedua pasukan menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian yang tidak dapat diduga dan sukar dipercayai.

“Saya amat berpuas hati dengan prestasi jentera saya,” katanya yang menjuarai pusingan ketiga dan ke-4 Piala Asia Aston Martin.

Siri GT Antarabangsa Super GT akan diteruskan di Litar Sportsland Sugo, Miyagi, Jepun, pada 26 dan 27 Julai ini.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad