myMetro

Juara dua kali berturut-turut

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

PERLUMBAAN Siri Antarabangsa Super GT Malaysia di Litar Sepang yang berakhir baru-baru ini, masih meninggalkan kenangan manis kepada lebih 25,000 penonton dan peminat dunia permotoran.

Apa tidaknya, deruman jentera lumba bertaraf super seperti Nissan GT-R, Honda NSX, Lexus SC430 dan Subaru Impreza yang menyusuri litar sejauh 5.5 kilometer itu sudah pasti masih diingati.

Tambahan pula kehadiran gadis litar yang seksi menawan juga menjadi antara faktor untuk peminat permotoran merasai sendiri betapa ‘hebatnya’ bergelar seorang pelumba profesional.

Bagi mereka yang berpeluang menaiki bas mengelilingi litar Formula Satu negara itu, sudah pasti rasai sendiri debaran pelumba bersaing, mengambil selekoh dan berjuang sehingga 54 pusingan.

Perlumbaan yang berlangsung tepat jam 4 petang itu sengaja dilakukan pada waktu berkenaan bagi mengelak bahang litar panas yang pasti mengganggu prestasi jentera dan tumpuan pelumba.

Sebanyak 38 jentera mengambil bahagian pada perlumbaan kali kelapan yang diadakan di Litar Sepang, masing-masing 16 jentera bagi kelas GT500 manakala 22 jentera bagi GT300.

Yang pasti, saingan tahun ini pasti mendatangkan kenangan manis kepada pasukan Woodone Advan Clarion GT-R apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut meskipun bermula pada petak keempat.

Jentera Nissan GT-R yang dipandu pelumba Brazil, Jaoa Paulo Lima de Oliveira berganding dengan bekas juara Le Mans, Seiji Ara menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 48 minit 26.947 saat.

Kedua-dua pemandu berpengalaman itu berjaya memintas Team Nissan Motul Autech GT-R yang mendominasi petak utama pada pusingan ke-50.

“Kami datang dengan penuh keyakinan untuk menang sekali lagi selepas muncul juara tahun lalu,” kata Ara yang menjadi pemandu kedua-dua pasukan berkenaan.

Dia mengambil alih pemanduan daripada Oliveira pada pusingan ke-27 sebelum memintas pasukan Nissan Motul Autech GT-R di pusingan ke-50 dan menguasai perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Sementara itu, Oliveira mengakui perlumbaan tahun ini sangat sengit berbanding tahun lalu.

Bagi kelas kelas GT300, gandingan Kota Sasaki dan Tetsuya Yamano daripada pasukan Cusco Dunlop Subaru Impreza mudah menjuarai kategori terbabit.

Sasaki yang menjadi pemandu kedua pasukan menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian yang tidak dapat diduga dan sukar dipercayai.

“Saya amat berpuas hati dengan prestasi jentera saya,” katanya yang menjuarai pusingan ketiga dan keempat Piala Asia Aston Martin.

Siri GT Antarabangsa Super GT akan bergema lagi hujung minggu ini di Litar Sportsland Sugo, Miyagi, Jepun.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad