Honda Jazz baru lebih menawanOleh Mohd Razlan Sallehmrazlan@hmetro.com.my PASARAN kenderaan di negara ini bakal bergegar lagi apabila model Honda Jazz generasi kedua, bakal dilancarkan akhir tahun ini.
Model terbaru itu dijangka menawan hati peminat apabila dikatakan bakal menjadi model premium untuk segmen hatchback lima pintu yang menawarkan prestasi dan gaya terbaik dalam kelasnya. Malah, teknologi terbaru membolehkan Jazz memiliki ruang dalaman luas, penjimatan bahan api dan gaya terkini sebagai sebuah kenderaan moden. Antara peningkatan lain model Jazz terbaru ini ialah keluasan kabin dan tahap pemanduan terkini serta kecekapan penggunaan bahan api yang akan memberikan lebih banyak nilai kepada pengguna berbanding model terdahulu. Honda mula mereka bentuk Jazz berasaskan konsep 'man maximum, machine minimum' iaitu penghasilan ruang maksimum untuk manusia dan minimum bagi komponen mekanikal kenderaan. Jazz dicipta dengan tujuan menjadi penanda aras baru segmen kereta kompak dan kecekapan penggunaan bahan api, ruang dalam yang luas serta gaya yang asli. Diperkenalkan di Jepun pada 2001, Jazz kini terjual lebih 400,000 unit di 115 buah negara setiap tahun menjadikan jentera berkenaan mencatatkan jualan sebanyak 2.3 juta unit di pasaran antarabangsa. Sejak pelancarannya, Jazz menerima pelbagai anugerah tahunan daripada pelbagai badan kaji selidik dan media automotif di Eropah, Afrika Selatan dan Asia Tenggara merangkumi daya kreativiti dalam reka bentuk, ketahanan, praktikal, kecekapan bahan api dan kemudahan pemanduan. Dengan pencapaian tinggi sebelum ini, model generasi kedua dicipta untuk meningkatkan mutu dalam menepati jangkaan pelanggan bagi kereta kompak. Jazz Baru menerima pengiktirafan Kereta Terbaik Jepun 2007/2008 sebaik saja dilancarkan di Jepun pada Oktober tahun lalu. |