Jualan Honda meningkat
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
HONDA Malaysia Sdn Bhd, mengumumkan peningkatan jualan kenderaannya di negara ini, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Atsushi Fujimoto, berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jualan Honda meningkat 18 peratus kepada 16,769 unit berbanding 14,177 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan ini membolehkan Honda Malaysia Sdn Bhd mengubah sasaran jualan yang ditetapkan daripada 33,000 unit kepada 35,000 unit berikutan prestasi positif ditunjukkan dalam separuh pertama tahun ini.
“Kami yakin dapat memenuhi sasaran itu akhir tahun ini walaupun berdepan suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan,” katanya.
Katanya, selain jualan memberangsangkan bagi model City, Civic dan CR-V, peningkatan jualan Honda turut dibantu model Accord yang dilancarkan, baru-baru ini.
“Model Accord mencatatkan tempahan memberangsangkan sebanyak lebih 5,000 unit pada bulan pertama pelancarannya dan kini mempunyai tunggakan tempahan mencecah 3,000 unit dan bakal melepasi sasaran jualan 7,200 unit tahun ini.
“Selain itu, Honda turut dikenali sebagai sebuah jentera yang menjimatkan minyak terutama bagi versi City,” katanya.
Menurut Fujimoto, kenaikan harga minyak pada separuh pertama tahun ini memberi kelebihan apabila pengguna beralih kepada kenderaan yang menawarkan teknologi kecekapan penggunaan bahan api seperti Honda.
Sepanjang tahun ini, Honda Malaysia menerima beberapa pengiktirafan bagi jenama, produk dan perkhidmatan selepas jualan seperti Anugerah Emas Jenama Dipercayai Reader’s Digest Asia bagi kategori kereta di Malaysia.
Selain itu, Honda turut menerima anugerah Brand Laureate Award 2007/08 dalam Kategori Penjenamaan Produk dan diiktiraf sebagai Jenama terbaik dalam bidang Automobil.
Laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tahun ini pula meletakkan jenama Honda di tempat kedua selepas Toyota bagi kategori kenderaan Jepun dari aspek jualan kenderaan bagi separuh tahun pertama 2008.
Terbaru, Honda Malaysia akan melancarkan generasi kedua model Jazz minggu hadapan selain beberapa model baru lagi dalam separuh kedua tahun ini.
|
|