Pandu Uji: Triton 3.2L gagah, lasak
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
KENDERAAN pacuan empat roda (4X4) terutama versi pikap sentiasa mendapat perhatian walaupun kos penyelenggaraan tinggi.
Disebabkan minat dan kelasakan yang ditawarkan jentera 4X4, semakin ramai menjadikan kenderaan ini untuk kegunaan harian.
Selain itu, reka bentuk yang bergaya di samping kemasan dalaman yang kadangkala lebih mewah daripada sebuah sedan menjadikan pasaran kenderaan pikap mencuri tumpuan.
Mitsubishi menjadi pengeluar pertama di negara ini melancarkan Triton 3.2L yang boleh dianggap sebagai jelmaan jentera 4X4 yang gagah merentas padang pasir dalam perlumbaan Rali Dakkar.
Ketika pertama kali memandu uji model terbaru ini, penulis kagum dengan prestasi enjinnya.
Ruang dalamannya pula tidak seperti sebuah pikap yang diberi sentuhan ‘ala kadar’ tetapi lebih kepada sebuah sedan yang eksklusif dan selesa.
Suis kawalan yang tersusun kemas di bahagian kokpit manakala paparan standard bagi sebuah jentera 4X4 seperti kompas elektronik, barometer, altimer, suhu dan gear pacuan empat roda menjadikannya sebuah jentera yang lengkap.
Kerusi penumpang belakang yang tidak terlalu tegak memberi keselesaan kepada penumpang, tambahan pula alunan muzik daripada radio menghilangkan bunyi sebuah kenderaan 4X4.
Walaupun sistem suspensinya agak keras, ia lumrah bagi sebuah kenderaan pikap, malah kerusi empuk yang dilengkapkan pada Triton mengurangkan ‘hentakan’ tubuh pemandu dan penumpang.
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan hiasan dalaman Triton 3.2 agak mewah untuk sebuah pikap pacuan empat roda.
Dari sudut luaran, tidak banyak perbezaan berbanding model terdahulu.
Bagaimanapun, bumper hadapan krom dengan reka bentuk garang selain padanan rim bersaiz 16 inci memberi amaran awal bahawa jentera ini mampu memukau sesiapa saja.
Laluan lasak tidak memberi masalah kepada model terbaru Triton ini.
Walaupun Triton 3.2 hanya dibekalkan dengan gear automatik, transmisi pacuan empat rodanya memberi reaksi yang mengagumkan ketika meredah halangan beralun, berlopak, berair, mahupun laluan sendeng.
Pilihan opsyen 4L cukup memberikan kuasa pemberhentian enjin (engine braking) yang meyakinkan sewaktu menuruni cerun curam walaupun tanpa menggunakan brek.
Enjin 3.2 liter DOHC 16 injapnya mampu memberikan 160 kuasa kuda dengan tork setinggi 343Nm pada 2,000rpm.
Selain itu, sistem Direct Injection Diesel Hyper Common Rail Turbo Intercooler terbaru Mitsubishi cukup gagah.
Malah, pecutan di lebuh raya juga tidak menghampakan apabila paparan meter menunjukkan ia boleh dipacu melebihi had laju dibenarkan.
Dengan harga RM99,800 termasuk insurans, Mitsubishi Triton 3.2 ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu putih, perak dan hitam.
SPESIFIKASI
Mitsubishi Triton 3.2L
Enjin: 4M41 DI-DC IT 3,200cc, 16-injap DOHC Intercooler Turbo Diesel
Kuasa maksimum: 160hp @ 3,500rpm
Tork maksimum: 343Nm @ 2,000rpm
Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan pengubah 4X4
Ciri keselamatan: ABS, EBD dan beg udara berkembar, penghadang sisi
Harga: RM99,800 termasuk insurans
Tayar yang dicadangkan
ContiCrossContact LX
265/70R16 112T TL
|
|