47 pasukan sah sertai MME
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
PERLUMBAAN Merdeka Millenium Endurance atau lebih dikenali sebagai MME adalah sebuah perlumbaan yang diadakan pada penghujung bulan Ogos setiap tahun sebagai satu acara meraikan Hari Kebangsaan.
Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu dilakukan bagi menguji ketahanan jentera dan mental pelumba selepas mengharungi perlumbaan selama 12 jam tanpa henti.
Perlumbaan Endurance dianggap paling mencabar kerana selain mencatat pusingan terbanyak, hanya jentera yang benar-benar lasak saja berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh masa ditetapkan.
Selain menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1), MME adalah satu lagi aksi perlumbaan kereta yang berjaya menaikkan nama negara dalam dunia permotoran.
Perlumbaan secara Endurance di negara ini bermula sekitar 90-an apabila Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) mempelawa mana-mana pasukan atau pelumba tempatan untuk berlumba dengan kereta keluarannya.
Pada awalnya, perlumbaan diadakan di Litar Shah Alam dengan memandu sejauh 500 kilometer tanpa henti sebelum lokasi perlumbaan dipindahkan ke Litar SIC selepas ia siap dibina manakala litar asal dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan di ibu negeri Selangor itu.
Pada masa itu, pemenang perlumbaan Endurance berkenaan akan menerima sebuah kereta model terbaru Proton sebagai ganjaran.
Namun, pada 1999, beberapa masalah timbul antara Proton dan SIC menyebabkan perlumbaan 'tanpa-henti' terpaksa dihentikan sebelum SIC memperkenalkan semula dengan nama Perlumbaan Endurance 12 Jam Merdeka Millennium pada 2000.
Perlumbaan yang sebelum ini mensyaratkan hanya kereta Proton saja layak bertanding pada perlumbaan itu turut berubah apabila penganjur membenarkan kereta lain menyertainya.
Perlumbaan rasmi MME pertama itu dimenangi pasukan Proton EON Racing Team (PERT) yang dianggotai Jimmy Low, Karamjit Singh dan Tommy Lee selepas bersaing sengit dengan pasukan TVR Racing yang dianggotai pelumba F1 pertama negara, Alex Yoong.
Setahun selepas itu, pasukan TVR Racing menjuarai MME 2001 yang ketika itu diwakili pelumba seperti Jeffery Wong, Tommy Lee dan Admi Shahrul yang memandu jentera TVR Chimaera.
Pada 2002, MME mula mendapat perhatian pelumba profesional luar negara apabila pasukan Amprex Motorsport beraksi dalam GT300 Japan menggunakan Mazda RX-7 memasuki perlumbaan Endurance.
Walaupun dianggap sebagai pasukan berpengalaman di samping pemandu dari Hong Kong, Charles Kwan dan Kevin Wong, jentera Mazda RX-7 mereka gagal menamatkan perlumbaan yang dimenangi Nigel Albon, Tommy Lee dan T Hamman yang memandu Porsche 911 GT3.
Pada 2003, perlumbaan semakin sengit apabila pasukan BSA Racing bersama Radical SR3 menyertai MME manakala Amprex Motorsport mempertaruhkan jentera BMW M3 GT yang dipandu Charles Kwan, Matthew Marsh dan Genji Hashimoto.
Pada tahun itu juga, Alex Yoong menyertai semula MME bersama pasukan Jaseri Racing.
Bagaimanapun, MME 2003 dimenangi pasukan G1-Meritus yang dianggotai pemandu seperti Eric Yeo, Firhat Mohkzani dan Chin Tzer-Jinn yang menamatkan 268 pusingan menggunakan jentera Porsche 911 GT3.
MME 2004 menyaksikan pasukan Amprex Motorsport masih tidak berputus asa untuk menjuarai perlumbaan apabila mempertaruhkan jentera Lamborghini Murcielago R-GT yang mampu mencatat masa hanya 2:09 saat sepusingan.
Bagaimanapun, jentera itu turut mengalami masalah teknikal sebelum pasukan Honda Malaysia Racing yang dianggotai Eddie Lew, Farriz Fauzy dan pemandu Super GT, Hiroki Katoh meraih kejayaan podium.
Setahun selepas itu, Amprex Motorsport yang menjalin kerjasama dengan pasukan Proton R3 Racing, akhirnya menguasai perlumbaan selepas berjaya melengkapkan 279 pusingan menggunakan jentera Lotus Exige 300RR yang dipandu Tengku Djan Ley, Genji Hashimoto dan Tony Ricciardello.
Pada 2006, pasukan Amprex Motorsport sekali lagi membawa masuk jentera Lamborghini Murcielago R-GT untuk perlumbaan MME tetapi terpaksa melupakan hasrat itu selepas kereta berkenaan 'lumpuh' ketika sesi latihan.
Sebagai ganti, Amprex Motorsport terpaksa menggunakan jentera Proton R3 Racing's Lotus Exige 300RR yang dipandu Faidzil Alang, Damien French dan Tengku Djan sebelum memenangi kejuaraan kali kedua berturut-turut.
Tahun lalu, MME bertambah menarik apabila mendapat perhatian pasukan lumba luar negara seperti J's Racing Lab yang menggunakan Honda S2000 dan Juniper Racing dengan kereta Porsche 911 GT3 RSR.
Turut mencatat sejarah apabila bekas pelumba F1 dan juga pelumba 24 Jam Le Mans, Hans-Joachim Stuck mengesahkan untuk menyertai MME.
MME 2007 dianggap sebagai kejayaan terbesar apabila 103 kereta disahkan untuk menyertainya namun, hanya 77 kenderaan saja dibenarkan berdasarkan kepada lesen peraturan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) yang diberikan kepada Litar F1 Sepang.
Ia dimenangi pasukan Hong Leong Kencana Racing Team yang dibarisi pelumba seperti Datuk Mokhzani Mahathir, Sven Herberger dan Lars Erik Nielsen yang memandu Porsche GT3 RSR bagi kategori terbuka.
Tahun ini, sebanyak 47 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dan semua jentera akan dilepaskan tepat jam 11.45 pagi pada 30 Ogos dan berakhir pada 12 jam selepas itu iaitu pada jam 11.45 malam.
Menurut Pengurus Besar SIC, Datuk Azmi Murad, perlumbaan tahun ini menyaksikan beberapa peraturan baru termasuk membenarkan 40 kereta bagi kategori terbuka dan Kelas A atau lebih 1,900 cc.
"Perlumbaan MME tahun ini bakal menyajikan aksi lebih menarik berdasarkan penyertaan daripada pasukan lumba profesional tempatan dan luar negara," katanya.
|
|