myMetro

Hujan tidak jejas strategi

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

HUJAN tidak mengganggu strategi pasukan Shell Advance Maju Motor Racing untuk meraih kejayaan podium pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta 2008 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Menurut pengurus pasukannya, Yong Ying Hoe, setiap pelumba sudah diberi latihan secukupnya untuk menghadapi perlumbaan ketika hujan.

“Saya memang tidak menggemari perlumbaan ketika hujan kerana pelumba tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar.

“Bagaimanapun, kami harus akur dan meneruskan perlumbaan sebaik mungkin walaupun hujan turun sepanjang perlumbaan,” katanya.

Menurut Yong, dia menasihati pelumba supaya lebih berhati-hati ketika beraksi di litar basah kerana berpotensi mengalami kemalangan.

“Jika berlaku kemalangan, sudah pasti pelumba akan ketinggalan dan perlu mengejar pelumba lain atau terkeluar terus daripada saingan.

“Bagaimanapun, saya yakin setiap pelumba Shell Advance Maju Motor Racing sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlumbaan walaupun pada waktu hujan,” katanya.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad