Ninja 250R curi tumpuan
Oleh Harris Adam
rencana@hmetro.com.my
“ZX6 ke bang?” tanya seorang peminat ketika berhenti di lampu isyarat. Saya cuma menggelengkan kepala.
Kawasaki adalah satu nama yang tidak asing di dunia pemotoran. Banyak model motosikal Kawasaki menjadi sebutan masyarakat sejak dulu lagi.
Pada pertengahan 80-an, Kawasaki ZZR 250cc menjadi sebutan di kalangan peminat motosikal. Dengan kuasa 250cc ketika itu, ia adalah sebuah jentera yang besar dan mewah di jalan raya.
Kemudian, Kawasaki memperkenalkan ZXR 250cc pada awal 1990-an. Ketika itu, motosikal berkenaan menjadi kegilaan kerana bentuknya yang cukup sporty. Malah, bunyi motosikal itu seakan-akan superbike.
Malangnya, motosikal itu tidak bertahan lama malah menjadi bahan ketawa kerana menggunakan paip mesin basuh. Selain itu, kos penjagaannya juga tinggi.
Selepas beberapa penyelidikan, Kawasaki mengeluarkan jentera barunya, Kawasaki Ninja 250R. Motosikal ini mendapat sambutan memberangsangkan di Amerika Syarikat.
Berpeluang menunggang uji motosikal terbabit, ia memang tidak sukar dikendalikan. Tidak sampai beberapa minit di atas jalan raya, mudah menyesuaikan diri dengan motosikal berkenaan.
Menempuh jalan Bentong lama, Kawasaki Ninja 250R memang tidak mengecewakan. Tidak rasa letih menunggang kerana posisi tempat duduknya tidak memerlukan seseorang itu membongkok seperti sport bike.
Setiap selekoh diambil dengan mudah kerana motosikal terbabit agak ringan iaitu kira-kira 151 kilogram.
Ia menggunakan teleskopik hidrolik untuk suspensi hadapan bagi membolehkannya memberi keselesaan kepada penunggang mengambil selekoh.
Sistem brek motosikal ini juga baik dan berkesan apabila diperlukan kerana turut menggunakan sistem hidrolik untuk brek hadapan.
Motosikal ini juga tidak menggunakan minyak yang banyak dan amat sesuai sebagai kenderaan harian. Kawasaki Ninja 250R, jentera yang dicipta serba baru ini sesuai untuk penunggang yang inginkan sport bike.
Ia hadir dengan tiga jenis warna iaitu Lime Green, Ebony dan Candy Plasma Blue. Dengan harga bawah RM 21,000, motosikal ini berbaloi untuk dimiliki.
|
|