Aksi lasak si cilik memukau
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
SEMANGAT dan kemahiran yang ditunjukkan beberapa peserta kanak-kanak dalam Kejohanan Mini Bikes Terengganu di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, baru-baru ini, menggamit ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang melihat sendiri aksi si cilik mengendalikan motosikal mini.
Tubuh kecil selain usia yang masih mentah tidak menjadi penghalang untuk 25 peserta cilik mempamerkan aksi menarik yang bersahaja dan bergaya.
Walaupun tidak dijanjikan ganjaran mewah berikutan penganjur mengadakan pertandingan secara suka-suka, semua peserta tetap bersemangat dan berjaya menambat hati pengunjung.
Paling mencuri tumpuan pastinya kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang turut memberi saingan sengit buat peserta lelaki ketika menunggang motosikal mini.
Bagi Siti Shahirah Hashim, 8, kehadirannya di litar sentiasa ditunggu kerana personalitinya agak kelelakian dan 'lasak’ selain aksi persembahan yang mengagumkan.
Menceritakan pembabitannya dalam sukan itu, Siti Shahirah mengaku mengikuti jejak langkah abangnya, Mohd Shahriman, 11, yang terlebih dulu membabitkan diri dalam sukan motosikal mini selepas bapa mereka, Hashim Ismail, 52 membelikan motosikal mini sebagai 'umpan'.
“Ayah risau abang selalu bermain di parit dan khuatir ditimpa kemalangan atau lemas. Ayah kemudian membelikan motosikal mini dan diberi galakan oleh keluarga untuk menyertai perlumbaan.
“Tetapi, ayah tidak menyangka saya juga berminat menunggang motosikal mini milik abang sebelum dia membelikan sebuah lagi untuk saya,” katanya.
Katanya, dia sering menyertai perlumbaan dan sudah beberapa kali menjadi juara dalam kejohanan terbabit di seluruh negara.
“Kadangkala kawan pun cakap mereka tak sangka saya boleh menunggang motor kecil begini dengan laju.
“Walaupun beberapa kali terbabit dalam kemalangan, ia tidak mematahkan semangat saya dan tidak pernah serik,” katanya yang sentiasa ditemani abang dan bapanya.
Siti Shahirah bukan saja handal mengendalikan motosikal mini di litar lumba, malah turut memiliki kepakaran dalam menyelenggara motosikal berkenaan.
“Setiap motosikal mini ini berharga sekitar RM4,000 manakala kelengkapan pakaian dan aksesori keselamatan mencecah RM800 seorang.
“Ayah tahu kami meminati sukan ini dan dia juga tidak kisah mengeluarkan perbelanjaan untuk memasuki perlumbaan,” katanya.
Menurut Siti Shahirah, motosikal mini miliknya hanya mampu mencecah kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) dan selepas diubah suai, kelajuannya mencapai 110km.
“Bagi saya, mengendalikan motosikal di selekoh paling sukar dan memerlukan kemahiran tinggi untuk mengharunginya,” katanya.
Sementara itu, abangnya, Mohd Shahriman, 11, berkata dia sentiasa cemburu melihat kejayaan dan kemahiran tinggi dimiliki adiknya ketika mengendalikan motosikal mini tetapi tidak pernah menganggap sebagai musuh, sebaliknya pesaing yang memberi saingan sengit.
“Saya memang tidak menyangka Siti Shahirah boleh menunggang motosikal untuk berlumba walaupun mendapat tentangan guru sekolahnya.
“Bagaimanapun, selepas melihat kejayaan kami, mereka terus memberi sokongan dan galakan untuk terus berlumba,” katanya.
Katanya, adik kesayangannya itu sudah banyak kali menjuarai pelbagai kejohanan sukan motosikal mini di seluruh negara termasuk memenangi tempat pertama di kejohanan sama di Gong Badak, Kuala Terengganu sempena Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta 2008, baru-baru ini.
Bagi pasangan dua beradik Nurul Shamira, 12 dan Nurul Aqiela Ramdzam, 10, minat mereka menyertai sukan lumba motosikal mula bertapak selepas bapa mereka, Ramdzam Ali, 45, membuka perniagaan menjual motosikal itu.
“Kami pengasas sukan ini dan antara yang terawal sekali menceburkan diri dalam perlumbaan motosikal mini sebelum mula mendapat perhatian.
“Kami menggunakan motosikal model QT Air Cool yang diubah suai untuk perlumbaan di litar.
Nurul Shamira berkata, walaupun pernah cedera ketika mengharungi perlumbaan suatu masa dulu, ia tidak mematahkan semangat untuk terus berlumba.
Peserta, Nur Amirah Basir, 12, berkata dia mula menyertai perlumbaan motosikal mini sejak berada di tahun empat hasil galakan bapa, Basir Ngah, 42, yang memang berminat dalam sukan lumba.
“Sebelum mengharungi perlumbaan, seseorang pelumba itu perlu memberikan fokus selain giat menjalani latihan.
“Walaupun sukan ini dianggap mahal kerana kelengkapan dan penyelenggaraan memerlukan kos yang tinggi tapi disebabkan minat yang mendalam, perkara itu tidak menjadi penghalang,” katanya.
|
|