Perlu dihentikan
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
CUACA panas yang kadangkala disusuli hujan lebat pada awal pagi atau lewat petang memang menyukarkan penunggang motosikal untuk bergerak manakala bagi mereka yang memandu kereta, hujan lebat tidak mengganggu perjalanan.
Bagaimanapun, sudah menjadi amalan pelik kebanyakan pemandu kenderaan di negara ini apabila sering kali menggunakan lampu kecemasan ketika mengharungi hujan lebat.
Tidak dinafikan kegunaan lampu kecemasan adalah untuk memberitahu pengguna jalan raya lain mengenai kedudukan kenderaan tetapi bukan digunakan ketika kenderaan berkenaan sedang bergerak.
Lampu kecemasan hanya boleh digunakan apabila kenderaan sudah berhenti sepenuhnya dan sebagai amaran kepada pemandu lain supaya berhati-hati dan mengelakkan diri daripada merempuh objek yang berhenti itu.
Perbuatan menggunakan lampu kecemasan ketika hujan adalah perbuatan yang salah dan berbahaya selain mengelirukan pengguna jalan raya lain serta perlu dihentikan.
Mungkin pemandu kenderaan yang menghidupkan lampu kecemasan beranggapan ia satu tindakan bijak kerana mahu memberi amaran kedudukan keretanya ketika hujan lebat.
Tetapi adakah mereka terfikir sekiranya mahu membelok atau mengubah haluan dalam keadaan jalan raya yang tidak jelas sedangkan lampu kecemasan sentiasa terpasang?
Adakah mereka terfikir pemandu di belakang yang memahami fungsi lampu kecemasan terpaksa ‘mengelak’ apabila melihat rintangan di hadapannya pada waktu hujan lebat?
Oleh itu, undang-undang jalan raya mengharamkan penggunaan lampu kecemasan ketika kenderaan sedang bergerak dan ia hanya boleh digunakan apabila kenderaan sudah berhenti sepenuhnya.
Di sini, fungsi lampu kabus (fog-lamp) amat berguna dan menyalakan pada waktu hujan adalah langkah paling bijak kerana ia amat terang.
Lampu kabus memang dicipta untuk kegunaan ketika cuaca berkabus atau hujan lebat sehingga mengehadkan penglihatan kepada jarak beberapa meter saja.
Selain itu, ada kenderaan seperti Proton Satria GTi yang mempunyai lampu kabus merah di belakang yang berguna ketika hujan lebat.
Sekiranya kenderaan tidak dilengkapi dengan lampu kabus, kunjungi kedai aksesori untuk membeli lampu berkenaan dengan harga berpatutan.
Sebagai panduan, oleh kerana lampu kabus biasanya menggunakan mentol bersaiz H1 atau H3 yang menyebabkan permukaan lampu menjadi terlalu panas, pilihlah lampu yang memiliki permukaan kaca agak tebal supaya ia tahan lama.
Kaca yang terlalu nipis akan menyebabkan ia mudah pecah kerana permukaan kaca yang panas akan bertindak balas apabila terkena air hujan.
Penggunaan lampu kabus lebih selamat berbanding menggunakan lampu kecemasan ketika hujan.
Perlu diingatkan, tujuan utama memasang lampu ketika hujan adalah untuk membantu pemandu lain menyedari kenderaan kita, bukan untuk membantu kita melihat kenderaan lain.
Lampu hadapan yang terpasang sudah mencukupi bagi pemandu di belakang melihat kenderaan di hadapan dan lampu kecemasan hanya boleh digunakan apabila kenderaan benar-benar berhenti, bukan ketika sedang bergerak.
|
|