Nouvo tak menghampakanOleh Kamarulzaman Pid dan Mohd Razlan Salleham@hmetro.com.my PENGEDAR motosikal Yamaha, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, melancarkan model skuter automatik terbarunya, Yamaha Nouvo LC 135cc, yang sporty dan berkuasa dengan sistem sejukan cecair.
Model skuter automatik terbaru itu adalah model kelima dilancarkan pengeluar motosikal terkenal Jepun di pasaran negara ini dalam tempoh enam tahun. Pengarah Urusannya, C H Ng, berkata buah tangan terbaru itu dilancarkan berikutan pihaknya menerima permintaan tinggi daripada orang ramai di negara ini. “Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, permintaan terhadap motosikal meningkat kepada 280,000 unit iaitu sebanyak 18 peratus berbanding 238,191 unit dalam tempoh sama tahun lalu. “Berikutan itu, kami yakin permintaan terhadap motosikal akan meningkat kepada 500,000 unit sehingga akhir tahun ini dan bakal mencipta sejarah dalam penjualan motosikal di negara ini,” katanya. Majlis Pelancaran Yamaha Nouvo LC dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama, Pegawai Eksekutif Yamaha Motor Co Ltd Jepun, Masahiro Inumaru. Yamaha Nouvo LC terbaru diberi sentuhan terkini termasuk bahagian belakang lebih tajam seperti jentera perlumbaan, lampu hadapan berkembar dengan garisan biru pendarfluor, hasil gabungan ciri inovatif dan teknologi termaju Yamaha. Antara perbezaan terbaru merangkumi penutup tempat duduk dwi jahitan, pelindung kaki bersaiz besar, rim saiz 16 inci, ruang menyimpan topi keledar, poket barangan dan penutup kunci. Selain itu, enjin CVT sejukan cecair 135cc tidak menghampakan apabila dilengkapi silinder 'DiASil' aluminium yang ringan. Malah, sistem karburetor dengan throttle position sensor (TPS) memberikan palam pencucuh beroperasi dengan lebih konsisten dan menjimatkan bahan api. Nouvo LC terbaru ini turut dipadankan dengan tali sawat automatik yang lebih tahan lasak bagi tunggangan mantap. Ng berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 1,600 unit model skuter automatik terbaru itu mampu dijual dalam tempoh sebulan. “Kami yakin jumlah ini dapat dicapai berikutan penjualan skuter automatik mencatat peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 13 peratus tahun lalu dengan kecenderungan pengguna yang lebih meminati model seperti ini,” katanya. Pada 2002, syarikat itu melancarkan model skuter automatik pertamanya, Nouvo, diikuti Ego (2004), kemudian Nouvo S (April 2005) dan diikuti Ego S pada Oktober tahun lalu. Yamaha Nouvo LC ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, hitam dan biru serta dijual pada harga RM6,028 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor pendaftaran). |