Jazz baru lebih unggul
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
PELANCARAN generasi kedua Honda Jazz baru-baru ini, memberi satu lagi pilihan kepada orang ramai untuk memiliki sebuah kenderaan yang unggul dari segi reka bentuk, keluasan, tahap pemanduan dan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya.
Sejak diperkenalkan pada 2001, model Jazz berjaya menambat hati peminat seluruh dunia dari segi reka bentuk, ketahanan, praktikal, kecekapan penggunaan bahan api dan keselesaan pemanduan dalam kelas kompak.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Atsushi Fujimoto, berkata Jazz generasi kedua direka dengan penuh teliti berikutan model pertama Jazz berjaya menaikkan nama jentera terbabit kepada tanda aras tinggi untuk segmen hatchback lima pintu.
“Jazz baru ini satu evolusi yang mengambil populariti daripada generasi pertama serta dipertingkatkan mengikut had harga dan saiz.
“Kelahiran model ini lebih mencabar berbanding menukar reka bentuk kereta secara keseluruhan kerana kami perlu membuat pembaharuan lebih inovatif supaya pelanggan mendapat nilai yang lebih tinggi,” katanya.
Hadir sama, Ketua Jurutera Honda (Penyelidikan dan Pembangunan) Jepun, Kohei Hitomi.
Hitomi dipertanggungjawabkan menjadikan Jazz terbaru sebagai sebuah kenderaan kompak, berdaya saing tinggi dan memberikan nilai baru kepada pelanggan.
Ciri utama ditampilkan Jazz terbaru itu merangkumi gaya luaran, ruang dalaman dan keselesaan yang terbaik dalam kelasnya selain prestasi peneraju serta tahap pemanduan yang mantap dengan kecekapan penggunaan bahan api minimum.
Daripada segi luaran, bentuk termaju super-forward form meningkatkan tahap aerodinamik dan penampilan tenaga kereta manakala dalaman pula, kabin menampilkan susun atur yang berjaya meningkatkan keluasan sama seperti kereta sedan bersaiz sederhana.
Malah, cermin hadapan juga lebih luas untuk memberikan sudut pemandangan yang lebih menyeluruh kepada pemandu.
Selain itu, ia menyediakan pelbagai kegunaan tempat duduk dan ruang penyimpanan dengan memaksimumkan fleksibiliti tempat duduk serta ruang kargo.
Ini termasuk penambahan ruang dan kegunaan melalui ultra seat yang dipertingkatkan bagi membolehkan pemilik memuatkan objek pelbagai saiz ke dalam kereta.
Jazz dijana enjin i-VTEC 1.5 liter baru dan dipertingkatkan, menggabungkan transmisi automatik lima kelajuan bagi memberikan tahap pemanduan, prestasi dan kecekapan penggunaan minyak terbaik.
Ia didatangkan dalam dua varian iaitu gred S dan gred V yang kedua-keduanya menghasilkan 120 kuasa kuda yang paling berkuasa dalam kelasnya.
Gred V menawarkan ciri tambahan seperti paddle shift dan pemasangan kit eksklusif untuk penampilan lebih bergaya.
Sistem keselamatan Jazz merangkumi teknologi G-CON dan beg udara SRS berkembar, ABS, EBD dan BA.
Jazz generasi kedua boleh didapati dalam empat warna pilihan iaitu Cerulean Blue Metallic, Alabaster Silver Metallic, Taffeta White dan Crystal Black Pearl.
Harga bagi gred S ialah RM104,800 manakala gred V dijual pada harga RM109,800. Jazz turut menawarkan tiga tahun jaminan atau 100,000 kilometer.
Sebagai ganjaran kepada 300 pelanggan pertama yang menempah Jazz Baru, Honda Malaysia menyediakan 300 helai kemeja-T polo eksklusif yang direka khas tiga pereka fesyen dengan gaya unik.
|
|