myMetro

KMB terima tajaan tiga motosikal BMW




KEMBARA Motosikal Borneo 2008 (KMB) menerima tajaan tiga motosikal BMW Motorrad Malaysia bagi kegunaan wartawan antarabangsa ketika program Kembara Motosikal Borneo 2008 berlangsung bermula 22 Ogos lalu sehingga 1 September ini.

KMB 2008 adalah satu ekspedisi permotoran membabitkan 19 peserta menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Semenanjung Malaysia sehingga ke Kuching, Sarawak dan seterusnya ke Kota Kinabalu, Sabah.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Bumi Bikers Adventures (BBA), Harris Andria dan Pengurus BMW Motorrad, Fazli Hisham Shukor.

Kembara dikelolakan di bawah BBA dengan kerjasama Kementerian Pelancongan itu turut mendapat perhatian tiga wartawan permotoran antarabangsa dari Australia, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.

Mereka ialah Thomas Weilecki daripada majalah Two Wheels (Australia), wartawan Friction Zone, Kenneth Robert Freund (Amerika Syarikat) dan Howard Stafford daripada Bike SA (Afrika Selatan).

Ketiga-tiga wartawan berkenaan akan bersama-sama KMB 2008 bagi melaporkan keindahan Sabah dan Sarawak untuk tatapan masyarakat antarabangsa.

Objektif utama program terbabit bagi memperkenalkan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi baru pelancongan permotoran peringkat nasional serta antarabangsa.

Ia diadakan sejajar dengan peningkatan minat di kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang gemar menjelajahi beberapa lokasi menarik, eksotik dan mencabar.

Selain itu, KMB 2008 akan difilemkan dan produk perfileman berkenaan akan dipasarkan ke syarikat media tempatan serta antarabangsa.

KMB 2008 dengan kos RM400,000 itu mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad