Pecutan mantap, jimat petrol
Oleh Noor Azam Abd Aziz
azam@hmetro.com.my
TIDAK cukup dengan pengenalan model Vios 1.5 S, 1.5 G dan 1.5 E yang diperkenalkan di pasaran sebelum ini, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor), terus menghangatkan pasaran dengan kehadiran Vios J sebagai pilihan peminat.
Model terbaru berkenaan yang hadir dengan pilihan transmisi automatik dan manual itu adalah tambahan kepada model sedia ada dilancarkan sejak Oktober tahun lalu.
Dengan penguasaan lebih 43 peratus pasaran kereta penumpang sedan berkapasiti 1.4 hingga 1.5 liter pada 2007, Vios sememangnya berjaya mencuri tumpuan peminat berbanding model saingannya di pasaran.
Kecemerlangan jentera Vios terbukti apabila ia sudah terjual lebih 100,000 unit di negara ini dan sekali gus menjadikannya satu daripada model kenderaan Toyota paling popular di negara ini.
Selain mempertaruhkan reka bentuk, pengeluar melengkapkannya dengan teknologi enjin terkini terutama bagi meningkatkan prestasi dan paling penting kini ialah penjimatan minyak.
Pakej itu dipersembahkan Toyota Vios hadir dengan wajah cukup menawan, dipertingkatkan keselesaan dalamannya serta teknologi enjin menjimatkan.
Reka bentuk bahagian hadapannya yang mirip kompak Yaris ini sememangnya mampu menawan hati golongan muda yang inginkan gaya dalam berkenderaan.
Walaupun, Vios J diletakkan sebagai model pengenalan, ia tetap tidak mengabaikan prestasi kuasa dan ciri keselamatannya.
Bagaimanapun, pemilik yang memilikinya boleh melakukan beberapa penambahan aksesori untuk menjadikannya lebih garang termasuk memasang lampu kabus, skirt sisi, spoiler, cermin sisi dengan lampu isyarat serta rim sport.
Bagaimanapun, jika tidak melakukan pengubahsuaian berkenaan ia sudah memadai kerana Vios sememangnya selesa untuk dipandu dan berbaloi dimiliki.
Ruang dalamannya menerima sentuhan reka bentuk moden dan keselesaan dan dipersembahkan menerusi papan pemuka kemas serta mudah dikendalikan.
Vios J masih mengekalkan kedudukan panel meter di bahagian tengah dan bagi mereka yang sudah biasa memandu sambil merujuk meter di bahagian depan, ia mungkin suatu yang janggal.
Bagaimanapun, aspek itu tidak mengganggu pemanduan dan tumpuan ketika memandu. Bagi model J ini, bahagian tempat duduk dalamannya dipadankan tempat duduk yang dibaluti fabrik biasa serta bahagian stering yang asas.
Aspek ruang turut dipertingkatkan Toyota apabila bahagian tempat duduk belakang jentera boleh dilipat bagi membolehkan keluasan bagasinya dipertingkatkan sehingga 475 liter.
Bagi mereka yang mementingkan ruang bagasi, aspek itu tidak mengecewakan kerana bahagian belakangnya memang cukup memuatkan empat beg besar.
Tubuhnya yang menawan itu dipadankan dengan enjin VVT-i 1.5 Liter DOCH 16 Valve 1,497 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 80 kW (109 ps) pada 6,000 rpm dan tork maksimum 141Nm(14.4kg-m) pada 4,200 rpm.
Teknologi enjinnya memang terbukti memberikan lebih penjimatan petrol selain kuasa pecutan yang mantap di jalan raya.
Untuk mereka yang membeli versi automatik, transmisinya dipadankan dengan sistem Super ECT menggunakan teknologi transmisi kawalan elektronik dengan pilihan menurun atau menaiki bukit.
Apabila menaiki bukit, jumlah gear menurun dan apabila menuruni bukit, sistem gear mengawal enjin untuk memperlahankan kenderaan serta mengurangkan penggunaan brek.
Untuk keselamatan dalam berkenderaan, Vios J dilengkapi kerangka yang mantap, pelindung impak kepala dan sisi kenderaan serta Sistem Brek Anti Kunci Empat Roda (ABS) dengan Edaran Daya Brek Elektronik (EBD).
Secara keseluruhan model Vios J ini sememangnya dinantikan peminat kerana ia dijual pada harga yang amat menarik tanpa mengabaikan ciri keselamatannya.
Harga jualan Toyota Vios J bagi versi automatik ialah RM73,525 manakala manual (RM69,825).
>Info
Model: Toyota Vios J
Enjin: Empat silinder 16 Valve DOHC VVT-I
Kuasa: 1,497 cc
Kuasa maksimum: 80kW(109 PS)/6,000 rpm
Tork maksimum: 141Nm(14.4kg-m)/4,200 rpm
Transmisi: Manual 5 kelajuan
Harga: Automatik - RM73,500 , Manual - RM69,800
|
|