Honda Accord mewah, bergayaBAGI mereka yang setia bersama model sedan Honda, barangkali generasi kelapan Honda Accord boleh dianggap jentera paling lengkap untuk dimiliki kerana menggabungkan ciri kemewahan, prestasi, gaya dan kuasa.
Ramai mengetahui Accord adalah model keluaran Honda paling berpengaruh dan disebabkan keutuhan enjinnya, tidak menghairankan kelibat Accord generasi 1976 masih gah di jalan raya. Kesempatan memandu uji Accord berkuasa 2.4 L bukan saja memberi kepuasan, malah kagum dengan keupayaan teknologi pintar VTEC (i-VTEC) mengawal serta membekalkan kuasa enjin bersesuaian kehendak pemandu. Accord generasi kelapan ini yang lebih dikenali sebagai Inspire di Eropah dilahirkan untuk memberi saingan kepada tahap keluasan kabin setanding model E-Class dan 5-Series. Dari sudut luaran, model serba baru ini membangkitkan gaya lebih diperhalusi termasuk garisan kontur sisi yang membolehkan tahap aerodinamik dipertingkatkan. Lampu hadapan yang besar dengan teknologi H.I.D membolehkan perjalanan waktu malam lebih jelas manakala bahagian lampu belakang diberi sentuhan gaya terkini. Selain itu, ekzos bersalut krom menambahkan lagi gaya bahagian belakang jentera yang boleh dikategorikan sebagai sedan pertengahan mewah ini. Malah, rim bersaiz 17 inci sebagai ciri standard bagi model ini menambahkan lagi ciri sporty jentera yang terkenal di seluruh dunia. Ruang dalamannya disaluti kemewahan dengan setiap sudut diberi sentuhan kulit manakala sistem penyaman udara bahagian penumpang belakang menambah keselesaan penumpang. Bahagian panel dihiasi dengan panel kawalan penyaman udara individu bagi penumpang hadapan sementara sistem audio menjadikan bahagian kokpit kelihatan eksklusif, kemas dan bergaya. Stereng berkuasa elektrik dilengkapi butang kawalan radio dan ‘auto-cruise’ memudahkan pengendalian selain memastikan tangan pemandu mengawal stereng kenderaan dengan sempurna. Malah, Accord 2.4 menyamai versi 3.5 V6 iaitu didatangkan dengan teknologi ‘paddle shifter’ di stereng umpama sebuah jentera Formula Satu. Selain itu, kerusi pemandu dan penumpang hadapan dikawal secara automatik dengan dua mod simpanan memori. Dengan ukuran 85mm lebih panjang dan 25mm lebih lebar, Accord menjanjikan keluasan maksimum kepada setiap penumpang. Teknologi i-VTEC 2.4 L membolehkan keseimbangan optimum antara kecekapan bahan api dan kuasa ketika memacu jentera seberat 1,525 kilogram ini. Enjin empat silinder, 16 injap, DOHC i-VTEC menghamburkan kuasa sehingga 180hp pada 6,500 rpm dan tujahan tork setinggi 222Nm pada 4,300 rpm. Selain itu, Accord terbaru ini dilengkapi sistem Variable Gear Ratio untuk stereng (ratio stereng berubah), sistem Shift Hold Control, sistem Active Control Engine Mount, sistem Active Noise Control dan Vehicle Stability Assistant. Dengan harga sekitar RM171,800 termasuk insurans, model pemasangan tempatan (CKD) ini adalah kenderaan sedan bandar yang memberikan imej eksekutif dan elegan kepada mereka yang mementingkan gaya. Model terbaru Honda ini ditawarkan dalam lima warna iaitu kuning (Bold Beige Metallic), hitam (Nightwalk Black Pearl), putih (Brilliant White), kelabu (Silver Stone Metallic), logam (Polished Metal Metallic) dan perak (Alabaster Silver Metallic). Spesifikasi Honda Accord 2.4L Enjin: Empat silinder, 16 injap, DOHC i-VTEC Kuasa maksimum: 180hp @ 6,500rpm Tork maksimum: 222Nm @ 4,300rpm Transmisi: Automatik lima kelajuan dengan paddle shifter Ciri keselamatan: Empat beg udara SRS, ABS, EBD, BA Harga: RM171,800 termasuk insurans Tayar yang dicadangkan ContiSportContact 2 Saiz 225/50R17 98W |