myMetro

Bonus pemilik Chevrolet

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

BERMULA 1 Ogos lalu, pemilik kenderaan Chevrolet tersenyum berikutan pengumuman harga alat ganti dan tawaran itu berlanjutan sehingga musim perayaan awal bulan depan.

Penurunan harga alat ganti ini boleh dianggap ‘bonus’ kepada pemilik Chevrolet terutama model Nabira, Aveo, Optra, Captiva, Optra, Lumina dan Spark.

Ketua Pegawai Operasi Hicom-Chevrolet Sdn Bhd, Yukontorn Vickie Wisadkosin, berkata penurunan harga beberapa alat ganti membolehkan kira-kira 15,000 pemilik kenderaan Chevrolet menarik nafas lega.

“Penurunan harga alat ganti ini merangkumi hampir 88 peratus alat ganti untuk model yang masih berada di pasaran.

“Harga baru yang bermula 1 Ogos membabitkan penurunan sehingga 67 peratus daripada harga alat ganti sekarang,” katanya.

Katanya, harga baru itu kini lebih murah atau menyamai harga alat ganti model lain dan membolehkan pemilik Chevrolet menyambut perayaan dengan lebih tenang.

“Hicom-Chevrolet akan meningkatkan lagi kualiti servis kenderaan termasuk perasmian beberapa pusat 3S sebagai kemudahan tambahan kepada pemilik Chevrolet.

“Dengan penurunan harga alat ganti dan pembukaan beberapa pusat sevis 3S, saya yakin pasaran kenderaan Chevrolet mampu bersaing di pasaran,” katanya.

Vickie berkata, penurunan harga alat ganti berkenaan disebabkan hubungan terus dengan General Motors yang memudahkan pembekalan barang alat ganti secara global dan terus kepada pelanggan.

Malah, konsep ‘Chevrolution’ yang diperkenalkan turut memainkan peranan dalam usaha Chevrolet memberi tumpuan penuh terhadap keutamaan pelanggan.

Bagi menjamin kesetiaan pelanggannya, Chevrolet juga melancarkan Program Apresiasi Pelanggan dan pemeriksaan 36 mata percuma serta diskaun 25 peratus untuk lima alat ganti lazim.

Antaranya penapis minyak, penapis udara, penapis bahan api, penapis pendingin hawa dan palam pencucuh untuk pemilik model Aveo, Optra, Nabira dan Captiva.

“Kami mahu lebih ramai pemilik Chevrolet kembali ke pusat servis bertauliah untuk menyelenggara kenderaan mereka,” katanya.

Menurut Vickie, penurunan harga alat ganti ini diharap menjamin harga jual balik yang lebih kukuh bagi kenderaan Chevrolet.

HICOM-Chevrolet kini memepunyai enam pusat 3S iaitu di Petaling Jaya, Bangi, Melaka, Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad