3 model lebih bergayaOleh Mohd Razlan Sallehmrazlan@hmetro.com.my TIGA model motosikal keluaran Naza Bikes Sdn Bhd kini mengalami perubahan gaya apabila ditawarkan dengan pilihan dwiwarna yang lebih garang selain peningkatan beberapa komponen pada model skuter GTR 150S.
Ketiga-tiga model berkenaan terdiri daripada GTR 150X dan Blade 250R dan 650R yang menerima sentuhan terkini supaya kelihatan lebih garang di jalan raya. Timbalan Pengurus Besar Naza Bikes Sdn Bhd, Zulkefly Abd Manan, berkata model terbaru GTR 150X adalah peningkatan kualiti terhadap model terdahulu, GTR 150S. “Saya yakin dengan beberapa ciri peningkatan terbaru membolehkan jualan skuter ini meningkat sehingga 50 peratus berbanding model terdahulu. “Dengan pengenalan Naza GTR 150X, Naza Bikes dijangka meningkatkan penguasaan pasaran skuter melebihi lapan peratus tahun ini,” katanya. Antara ciri terbaru yang dipertingkatkan adalah tiga warna baru iaitu hitam, oren dan putih yang ditampilkan dengan corak grafik lebih garang, hiasan ‘Carbon Fiber Painting’ pada bahagian tertentu, lampu hadapan projektor serta lampu isyarat LED. GTR 150X ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu hitam/merah, oren/hitam dan putih/merah. Ujian menunjukkan GTR 150X hanya menggunakan seliter petrol untuk jarak 52 kilometer (km) dengan kelajuan 80 km sejam. Malah, GTR 150X turut menampilkan ciri istimewa iaitu tempat duduk belakang ‘ala’ motosikal MotoGP iaitu berasingan daripada tempat duduk penunggang. Bagi model Blade pula, kedua-dua versi 250cc dan 650cc juga didatangkan dengan berkonsepkan dwiwarna dengan penggunaan warna ceria seperti merah/hitam dan oren/hitam. Selain itu, Blade turut mengalami beberapa siri ujian bagi meningkatkan kualiti serta memberi keyakinan dan kepuasan kepada pengguna. Model Blade adalah motosikal bercirikan ‘superbike’ yang menjimatkan penggunaan petrol di mana ia mampu mencecah jarak 30km bagi setiap liter petrol. Blade memiliki kapasiti tangki bahan api sebanyak 17 liter serta boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 160 km sejam. “Blade adalah model motosikal berkuasa tinggi pertama keluaran Naza Bikes dan antara model paling popular dalam rangkaian motosikal keluaran Naza Bikes yang terjual lebih 2,000 unit sejak dilancarkan empat tahun lalu. “Kini, pembeli yang membeli sebarang model Blade akan menerima jaket eksklusif Naza Blade dan topi keledar jenama SOL bernilai RM1,500 secara percuma,” katanya. Menurut Zulkefly, pihaknya mensasarkan peningkatan jualan sebanyak 25 peratus dengan pengenalan Blade 250R/650R dwiwarna berkenaan. GTR 150X ditawarkan pada harga RM7,388 manakala Blade 250R dan Blade 650R masing-masing berharga RM18,700 dan RM29,188. Semua harga berkenaan tidak termasuk cukai jalan, insurans dan caj lain. |