Nouvo LC ranggi, memikatSELEPAS tujuh hari bersama buah tangan terbaru Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), penulis mendapat jawapan mengapa skuter daripada model Nouvo ini menjadi kegilaan remaja.
Apa yang pasti, faktor utama menyebabkan motosikal ini digilai kerana reka bentuknya sentiasa ‘selangkah ke hadapan’. Penulis tidak menafikan apabila Nouvo LC 135 berhenti di persimpangan lampu isyarat atau melalui kawasan sesak dengan orang ramai, pasti ada mata yang menjeling motosikal yang dinaiki penulis. Meskipun bentuk fizikalnya tidak menyamai model skuter buatan Eropah seperti Piaggio dan Vespa, skuter buatan Jepun ini ternyata memikat. Kapasiti enjin bersesaran 132.6 mencukupi untuk membawa bebanan termasuk dua penumpang bersaiz besar dan ‘kuasa tambahan’ bagi mereka yang bersaiz kecil. Nouvo LC tambah bergaya apabila tempat duduk dan bahagian dalaman pemampan angin diberi sentuhan dwiwarna yang menarik dan tampak ranggi. Malah, jahitan pada pembalut kerusi menggunakan dua warna asas itu adalah corak terbaru dan ciri yang membezakan mana-mana model Nouvo yang dilancarkan enam tahun lalu itu. Lampu depan moden yang membujur lebih praktikal digunakan bagi meningkatkan keberkesanan penggunaannya terutama pada waktu malam. HLYM juga buat pertama kali menampilkan panel meter elektronik menerusi odometer teknologi LCD berlatarbelakangkan cahaya LED biru. Saiz tayar sebesar 16 inci menyumbang kepada peningkatan tahap tunggangan dan keselamatan. Ini membolehkan penunggang mengambil selekoh dengan lebih yakin walaupun kawalan sedikit berbeza dengan motosikal kapcai biasa. Ini kerana enjin skuter berada di belakang manakala pemijak kaki bagi model ini lebih rendah berbanding kapcai. Ruang barang di bahagian bawah tempat duduk sangat luas sehingga mampu memuatkan topi keledar penutup penuh (full-face) dengan mudah. Bagaimanapun, keistimewaan Nouvo LC terletak pada enjinnya yang menggunakan sejukan cecair yang mampu membekalkan kuasa maksimum kepada motosikal berkenaan. Malah, sistem sejukan (radiator) pada bahagian sisi motosikal sangat unik dan menarik perhatian ramai. Enjin CVT rekaan Yamaha ini sangat ringan dan kuasa pasti terasa sebaik memulas pendikit minyak hingga mencapai kelajuan melebihi 110 kilometer sejam. Faktor ini dibantu penggunaan silinder DiaSil aluminium dan silinder tunggal condong depan (Forged Piston) bagi meningkatkan ketahanan dan prestasi enjinnya. Dengan tiga warna pilihan iaitu merah, hitam dan biru, Nouvo LC bakal mencetuskan satu lagi fenomena baru dalam dunia permotoran tempatan, sama seperti ia mula dilancarkan pada 2002. Berharga RM6,028 (tanpa insurans) seunit, tidak mustahil jentera terbaru Yamaha ini mendapat sambutan menggalakkan bagi mereka yang mahu membeli motosikal bercirikan skuter moden, hebat dan berkuasa. >Spesifikasi Enjin: Empat lejang, SOHC, 132.6cc Transmisi: Tali V Automatik Casis: Underbone tiub keluli Kuasa maksimum: 11.2hp pada 8,500rpm Tork maksimum: 10.6Nm pada 6,500rpm Harga: RM6,028.00 tanpa insurans |