Alat ganti lebih murah
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
Tawaran dilakukan Brooklands Motors Sdn Bhd (BMSB), pengimport tunggal Citroen di Malaysia membolehkan orang ramai menukar alat ganti tulen dengan harga berpatutan di Brookland Motors Centre di seluruh negara.
Antaranya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, hanya model C2, C3, C4, C5, C8, Xsara Picasso, Berlingo dan Evasion yang terbabit dalam penurunan harga alat ganti berkenaan.
Antara alat ganti terpilih untuk promosi itu terdiri daripada penapis minyak, penapis udara, palam pencucuh, penapis penyaman udara, pad brek depan dan belakang serta bilah pengelap.
Promosi istimewa kepada pelanggan setia jenama Citroen ini adalah sebahagian daripada usaha Brookland Motors untuk memperkukuhkan semula jenama terkenal dalam kejohanan rali dunia ini di Malaysia.
Dalam kejohanan rali dunia, jentera Citroen dipandu juara dunia empat kali berturut-turut, Sebastien Loeb.
BMSB yang dilantik sebagai pusat servis Citroen dilantik sebagai pengedar dan pengimport kenderaan jenama terbabit di negara ini.
Brooklands Motors turut melabur kira-kira RM7 juta dengan membuka bilik pameran serta pusat servis empat kawasan tumpuan merangkumi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
Sehingga kini, pusat servis berkenaan sudah melakukan kerja penyelenggaraan lebih 2,000 unit model Citroen.
|
|