Rondo pelengkap Citra
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
KENDERAAN Pelbagai Guna (MPV) popular daripada Naza Kia Sdn Bhd, Naza Citra kini diberi sentuhan baru yang lebih moden dan bergaya dikenali sebagai Citra II Rondo.
Model MPV berkenaan dianggap pilihan terbaik kerana keluasan, keselesaan dan kuasa yang ditawarkan memberi kepuasan kepada pemiliknya.
Citra II Rondo yang dilancarkan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin, baru-baru ini adalah pelengkap kepada model Citra sedia ada.
Hadir sama, Presiden Kumpulan Naza, Datuk SM Shalahuddin SM Amin dan Pengarah Urusan Kia Motors Asia, Terry Im.
Rondo adalah kenderaan tujuh tempat duduk dengan enjin 2.0 liter DOHC CVVT dengan transmisi automatik empat kelajuan.
Enjin sama seperti model Optima menghamburkan kuasa 145hp dan tork setinggi 189Nm.
Nasarudin berkata, Citra masih lagi dijual di pasaran untuk memenuhi kehendak mereka yang mahukan MPV tujuh tempat duduk berharga di bawah RM70,000.
“Rondo berada pada tahap antara Citra dan Ria serta menjadi pesaing kuat dalam kategori Crossover,” katanya.
Katanya, Naza Kia meletakkan Rondo sebagai sebuah Crossover disebabkan tempat duduknya sedikit tinggi berbanding MPV lain.
Dikeluarkan dalam dua varian iaitu Rondo EX dan Rondo EXS, MPV terbaru itu turut dilengkapi alat penggera ketika mengundur, beg udara depan berkembar, ABS serta EBD.
“Rondo adalah kenderaan MPV yang besar dan lebar berbanding MPV Jepun dalam kelas harganya,” katanya.
Ia memiliki keluasan 1,043 mm untuk ruang kepala dan 1,042 untuk ruang kaki, model ini menawarkan kualiti, nilai dan kepuasan pemanduan yang dikehendaki terutama bagi perjalanan jauh.
SM Nasarudin berkata, pihaknya mensasarkan menjual 200 unit sebulan kenderaan MPV terbaru itu serta menjangka terjual sehingga 600 unit sehingga hujung tahun ini.
“Syarikat merekodkan jualan yang stabil bagi model Citra sebelum ini iaitu hampir 40,000 unit dan ia membuktikan kenderaan Naza Kia tujuh tempat duduk adalah pilihan popular penggemar MPV Malaysia.
“Dengan 200 tempahan awal yang diterima setakat ini, kami yakin dengan model Citra II Rondo yang diperbaharui dapat mengekalkan populariti model Citra sebelum ini,” katanya.
Model Rondo EX berharga RM84,888 (termasuk insurans) dan model EXS yang dilengkapi rim 16 inci dan ‘roof rail’ berharga RM88,888 (termasuk insurans).
|
|