myMetro

Berehat dua bulan

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

ESOK genaplah seminggu masyarakat di negara ini merayakan Aidilfitri dan perayaan terbesar umat Islam itu masih lagi disambut meriah di seluruh negara.

Masyarakat Malaysia tidak kira bangsa masih lagi sibuk meraikannya dengan majlis kunjung mengunjung serta rumah terbuka rancak berlangsung.

Bagi warga kota yang baru pulang dari kampung meraikannya bersama keluarga, kini tiba pula saat menyambutnya bersama rakan taulan, jiran serta rakan sepejabat.

Begitu juga halnya dengan pelumba pasukan Shell Advance Maju Motor Racing apabila pengurus pasukannya, Yong Ying Hoe, memberi rehat selama dua bulan bagi memberi peluang kepada semua pelumba berehat dan menjalani ibadat puasa bersama keluarga tersayang.

“Saya tidak mahu mengganggu mereka berehat bersama keluarga dan tidak akan memanggil mereka untuk menjalani latihan.

“Tempoh masa dua bulan mencukupi bagi mereka menikmati masa bersama keluarga sebelum memulakan aksi di litar bulan hadapan,” katanya.

Katanya, Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta kali ini hanya tinggal tiga pusingan lagi sebelum menutup tirainya Disember ini.

“Saya harap pelumba yang diberi rehat secukupnya dapat kembali dengan semangat dan azam baru bersama pasukan.

“Musim ini boleh disifatkan paling mencabar kerana pengenalan kategori baru, perlumbaan yang bertambah dan kehadiran jaguh handalan,” katanya.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad