Sylphy hampir sempurna
Oleh Mohd Razlan Salleh
 |
PELUANG memandu uji model sedan terbaru Nissan, Sylphy atau lebih dikenali sebagai Bluebird di Jepun memang sentiasa dinantikan. |
PELUANG memandu uji model sedan terbaru Nissan, Sylphy atau lebih dikenali sebagai Bluebird di Jepun memang sentiasa dinantikan.
Jentera sedan terbaru yang dipasarkan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) sejak Jun lalu sentiasa mendapat perhatian ramai.
Reka bentuk baru, keluasan dalaman tiada tandingan selain pelbagai ciri terkini membolehkan jentera ini bersaing bersama Honda Accord dan Toyota Camry tetapi dengan harga jauh lebih rendah.
Melihat bahagian hadapan yang dihiasi dengan padanan gril krom dan lampu hadapan besar menjadikannya tampak eksklusif serta bergaya.
Lampu hadapan berteknologi Complex Surface Reflector (CSR) membolehkan cahaya dipantulkan 50 peratus lebih terang dan amat berguna ketika pemanduan malam.
Lebih unik, lampu hadapan ini turut mempunyai ‘tanduk’ kecil yang difahamkan sebagai panduan pemandu melihat bucu hadapan ketika memasuki tempat meletak kenderaan.
Walaupun kelihatan agak pelik, ia sangat berguna bagi seorang wanita apabila memandu kenderaan sedan kategori mewah saiz pertengahan ini.
Memasuki ruang dalamnya, jelas Nissan memanfaatkan ruang sebaik mungkin dan warna terang menjadikannya kelihatan luas serta mampu memuatkan lima orang dewasa dengan selesa.
Seluas 1,695 milimeter (mm) lebar, 4,610 mm panjang dan 1,210 mm tinggi dengan saduran fabrik Masumi kalis calar membolehkan penumpang berada dalam keadaan selesa ketika menempuh perjalanan jauh.
Untuk lebih selesa, Sylphy turut ditawarkan kemasan kulit mewah sebagai pilihan.
Selain itu, konsol tengah dengan kapasiti 9.7 liter membolehkan sebuah beg tangan atau barang berharga lain ‘disorokkan’ daripada perhatian penjenayah.
Sistem pendingin hawa yang beroperasi secara automatik selain dilengkapi dengan lapisan kaca standard yang berupaya menghalang 87 peratus sinaran ultra ungu, menambahkan lagi keselesaan penumpang.
Sistem audio enam pembesar suara juga menjadikan kenderaan terbaru Nissan ini sempurna untuk sebuah keluarga atau golongan muda yang mementingkan hiburan di dalam kereta.
Dari segi prestasi, enjin 2.0L dengan teknologi Nissan Xtronik CVT (transmisi boleh ubah berterusan) tidak menghampakan.
Enjin MR20DE yang tersimpan bawah bonet hadapan menjadikan Sylphy sebuah jentera menjimatkan dengan penggunaan satu liter petrol untuk perjalanan sejauh 16 kilometer.
Malah, teknologi Xtronik CVT membolehkan penumpang tidak merasai langsung setiap kali pertukaran gear dilakukan dan enjin bergerak lancar.
Enjin aluminium generasi ketiga Nissan ini membolehkan jentera dipacu selaju 110 kilometer sejam (km/j) dengan putaran di bawah 2,500 rpm.
Dengan 133 kuasa kuda dan tork setinggi 191 Nm, Sylphy menjadi sebuah sedan yang cukup bertenaga, berkuasa serta bergaya.
Sistem suspensi juga lembut dan tidak terlalu membuai ketika mengambil selekoh.
Bagaimanapun, perkara berkenaan adalah biasa bagi sebuah kenderaan keluarga kerana ia tidak dicipta untuk mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi seumpama sebuah kereta berprestasi tinggi.
Terima kasih diucapkan kepada jurutera Nissan yang mencipta Sylphy hingga menjadikannya sebuah kenderaan yang hampir sempurna keseluruhannya.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah Sylphy menerima Anugerah Reka Bentuk Terbaik Jepun 2006/07 bagi kategori kenderaan penumpang.
Berharga serendah RM112,800 bagi pakej selesa dan RM116,800 untuk pakej mewah, Sylphy mampu menggugat pesaing yang menawarkan harga jauh lebih tinggi.
SPESIFIKASI
Nissan Sylphy 2.0 Automatik
Enjin: 1,997cc DOHC dengan Xtronik CVT
Kuasa maksimum: 133hp @ 5,200rpm
Tork maksimum: 191Nm @ 4,400rpm
Ciri keselamatan: ABS, EBD, BA, Beg Udara SRS
Harga: RM116,800 (termasuk insurans)
Tayar yang dicadangkan: ComfortContact-1 195/65 R15 91V
|
|