Versi baru Forester lebih besar
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
PENGEDAR tunggal dan pemegang francais kenderaan Subaru Asia Tenggara, Motor Image Group melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester 2.5 XT serba baru bagi menyaingi pasaran model berkenaan di negara ini.
Model Cross-Over itu dilengkapi pelbagai ciri terkini termasuk ruang lebih besar, pemanduan serba mewah, berkualiti, ciri keselamatan dipertingkatkan dan berkuasa.
Ketua Eksekutifnya, Glenn Tan, berkata model terbaru itu menggunakan transmisi automatik empat kelajuan dilengkapi SportShift 1.
“Paling menarik, model ini dibekalkan dengan enjin Subaru Boxer 2.5 L bercas turbo DOHC yang terunggul dalam kenderaan keluaran Subaru.
“Forester mula diperkenalkan kepada umum sejak 1997 mendapat sambutan menggalakkan di seluruh dunia disebabkan sifatnya yang pelbagai fungsi dan lasak,” katanya selepas pelancarannya, baru-baru ini.
Katanya, model terbaru ini direka bentuk secara menyeluruh yang menggabungkan keseimbangan dan keanggunan kontemporari.
Antara ciri terbaru Forester adalah garis arus sisi, gril hadapan baru, lampu utama dipertingkatkan dan saduran krom untuk menambahkan gaya eksklusif.
Ruang dalaman pula dihiasi dengan kemasan aluminium berlatarbelakangkan warna gelap bagi menambahkan ciri sporty.
Forester dibekalkan dengan sistem audio bertenaga tujuh pembesar suara dengan penukar enam cakera bagi memudahkan pemandu dan penumpang menikmati alunan muzik dengan selesa.
Selain itu, ciri keselamatan dipertingkatkan seperti tali pinggang keledar praregangan, beg udara depan, sisi dan tirai serta sistem Brek Antikekunci (ABS) bersama Edaran Daya Brek Elektronik (EBD).
Sementara itu, Glenn berkata, pihaknya sedang berunding dengan pengeluar Subaru di Jepun, Fuji Heavy Industries untuk memasang model kenderaan terbabit di negara ini.
“Fuji memberi reaksi positif terhadap cadangan itu berikutan beberapa inisiatif menarik yang ditawarkan kerajaan selain kelebihan tarif di bawah Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).
“Sekiranya kami diberi kebenaran, negara ini bakal menjadi negara pertama di rantau ini mengeluarkan SUV Subaru,” katanya.
Model diimport sepenuhnya (CBU) itu berharga RM189,621.80 termasuk insurans.
Forester boleh didapati dalam empat warna iaitu Kelabu Gelap, Mutiara Hitam Obsidian, Metalik Perak Keluli dan Putih Satin.
|
|