Castrol rai kelab motosikal
SEMPENA MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Sepang, baru-baru ini, syarikat pengeluar minyak gergasi dari England meraikan beberapa individu dan kelab motosikal yang menyumbang keringat memeriahkan dunia permotoran negara.
Anugerah khas disediakan Premier Lubricants (M) Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab mengeluar dan memasarkan jenama minyak pelincir Castrol di negara ini.
Ketua Pemasaran Castrol, Mark Ng, berkata majlis anugerah itu bagi menghargai sumbangan individu dan pihak yang terbabit meningkatkan industri permotoran negara.
"Permotoran wujud disebabkan mereka yang serius dengan sukan ini sama ada mereka mementingkan kesempurnaan atau suka-suka.
"Sukan bermotor sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka dan pihak kami menganjurkan 'Castrol Power 1 Bike Nite' adalah untuk meraikan sumbangan mereka," katanya.
Menurtnya, Castrol sentiasa berpegang pada falsafah sukan permotoran sebagai landasan meningkatkan produk dan sudah menempuh pelbagai cabaran.
"Justeru, kita jangan melupakan peranan pelumba amatur, peminat motosikal dan mereka di belakang tabir dalam dunia permotoran di negara ini," katanya.
Pada majlis itu, Castrol yang menaja pasukan San Carlo Honda Gresini menjemput dua penunggang handalannya, Shinya Nakano dan Alex De Angelis.
Mereka yang menerima Anugerah Castrol Motorsport Lifetime Achievement ialah Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Rosnizam Mohd Noor, Suhadi Ali Rahmat, M Meganathan, Shahrun Nizam Tamin dan Wazi Abdul Hamid.
Bekas pelumba dan kini Clerk-of-Course dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM-Petronas Sprinta, Bulldog Kuan Huah Chin penerima tunggal Anugerah Castrol Motorsports Legend.
Selain itu, sebanyak 14 kelab permotoran dipilih menerima anugerah Castrol Motorcycle Community Achievement.
Anugerah Castrol Community Achievement diberikan kepada individu dalam persatuan dan kelab bermotosikal yang menyumbang kepada pembinaan masyarakat seperti menganjurkan kursus keselamatan, majlis amal, berkonvoi secara selamat dan mempromosi etika jalan raya.
Anugerah Castrol Motorsports Rising Star pula diberikan kepada individu yang kini bersaing dalam perlumbaan motosikal di Malaysia.
Sementara itu, Anugerah Castrol Motorsports Lifetime Achievement diberikan kepada individu yang mempamer semangat tulen dalam pembinaan masyarakat dan pembangunan sukan bermotor manakala Anugerah Motorsports Legend kepada individu yang bertungkus lumus dalam memupuk sukan permotoran di Malaysia.
|
|