Cari jaguh pecut
Teks dan gambar Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my
DERUAN enjin motosikal menjadi halwa telinga sepanjang saingan perlumbaan ujian pecut (Sprint Test) Malaysia United Scooter Community (MUSC) RH Drag Challenge 2008 di litar Kompleks Dagangan Indera Mahkota, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, baru-baru ini.
Pertandingan satu hari itu disertai lebih 150 pelumba seluruh negara yang bersaing dalam tiga kategori iaitu empat dan dua lejang serta dan model skuter.
Pertandingan yang diadakan secara pusingan membabitkan beberapa negeri bertujuan menguji kehebatan masing-masing secara sah.
Pengarah pertandingan, Khairi Abdullah, berkata melalui perlumbaan itu, ia memberi kepuasan kepada mereka yang terbabit dalam sukan pemotoran.
"Secara tidak langsung, acara ini membantu pihak berkuasa mengurangkan gejala lumba haram terutama dikalangan belia selain menjadi pentas pelumba menunjukkan aksi tersendiri.
"Perlumbaan di Kompleks Dagangan Indera Mahkota ini adalah pusingan ke-11 tahun ini dan acara sambutan diterima begitu menggalakkan sehingga perlumbaan berlanjutan hingga ke malam," katanya.
Menurut Khairi, setiap kali perlumbaan ujian pecut diadakan, sambutan daripada pelumba amat memberangsangkan dan kagum dengan kerjasama yang ditunjukkan peserta.
"Mereka datang dari seluruh negara bersaing mewakili pasukan masing-masing selain ada peserta menyertainya secara individu.
"Mana-mana peserta yang berjaya dianggap hebat dan digelar 'Raja Sprint Test' kerana perlumbaan seperti ini jarang diadakan di negara ini," katanya.
Pemenang setiap kategori menerima hadiah wang tunai, piala dan alat ganti motosikal yang ditaja syarikat tertentu.
Khairi berkata, perlumbaan itu mendapat sambutan kerana kekurangan litar, justeru apabila ada yang menganjurkan pertandingan seumpama itu, remaja mengambil peluang itu untuk beraksi.
"Syarat ditetapkan pada perlumbaan ujian pecut ini tidak terlalu ketat bagi memberi peluang ramai pelumba mengambil bahagian.
"Bagaimanapun, penganjur tidak berkompromi dengan faktor keselamatan dan setiap pelumba wajib menggunakan pakaian dan kelengkapan sesuai," katanya.
Katanya, setiap kali perlumbaan, pelbagai bentuk motosikal dapat dilihat dan aksi mereka mencuri tumpuan penonton.
"Matlamat untuk menang dan beraksi hebat menyebabkan mereka sanggup menghabiskan wang bagi mengubah suai motosikal mereka.
"Perlumbaan dimulakan dengan melepaskan dua motosikal dengan jarak laluan lurus sejauh 250 meter dan pelumba yang terlebih dahulu sampai ke garisan penamat dikira pemenang," katanya.
Pusingan menjadi semakin mencabar apabila ia diadakan secara kalah mati.
"Saya berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu mempopularkan perlumbaan ujian pecut ini bagi melahirkan pelumba berkualiti dan bersaing di peringkat antarabangsa.
"Dengan bantuan dan sokongan kerajaan, saya yakin sukan ini akan terus berkembang dan mengurangkan aktiviti tidak sihat seperti lumba haram," katanya.
Pelumba, Zulkhairy Zakaria, 21, berkata ramai belia meminati perlumbaan ujian pecut yang dianggap mencabar bagi menilai kemahiran penunggang mengendalikan motosikal.
"Kemenangan pada perlumbaan ujian pecut ini memberi pelbagai kepuasan kepada penunggang walaupun hanya bersaing pada jarak 250 meter," katanya.
|
|