Shogun SP cipta sejarah
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
SELEPAS puas menunggang Suzuki Shogun 125 RR, kini penulis berpeluang merasai satu lagi buah tangan terbaru daripada pengeluar motosikal gergasi Jepun itu, Shogun SP dengan klac tangan.
Walaupun ada menganggap klac tangan menyusahkan tunggangan terutama bagi motor kelas 'kapcai', penulis beranggapan penggunaan klac dapat menaikkan kuasa tork dan pecutan jentera.
Kali pertama menunggang Shogun SP mengingatkan motosikal penulis, RGV 120 yang banyak berjasa ketika bersekolah dan memulakan kerjaya di ibu kota.
Pada masa itu, RGV 120 adalah kapcai 'underbone' pertama berkuasa 120cc dan kehadiran model Shogun SP, bakal mencipta sejarahnya tersendiri.
Walaupun klac manual menjadi perbezaan ketara antara Shogun SP dan RR, model terbaru itu menyimpan lebih kuasa berbanding klac automatik.
Dilengkapi penghidup elektrik, Shogun mudah dihidupkan dan penunggang hanya perlu menarik klac sebelum enjin dihidupkan.
Ini adalah ciri keselamatan terbaru Suzuki untuk jentera penghidup elektrik.
Padanan grafik merah pada motosikal berwarna hitam termasuk rim sport menambahkan lagi gaya jentera terbaru ini.
Bentuknya yang tajam dari depan hingga belakang sering mendapat perhatian mat rempit yang seolah-olah teruja dengan bentuk terbaru Shogun.
Sebaik pendikit minyak dipulas, kuasa yang dibekalkan cukup untuk melonjak motosikal penulis jauh di hadapan.
Model Shogun dilengkapi suis posisi pendikit yang memberi maklum balas segera kepada pemasa enjin untuk meningkatkan prestasi bagi pecutan lebih cepat terutama penggunaan klac manual.
Malah, klac manual turut membantu penggunaan bahan api lebih jimat.
Dari sudut kejuruteraan, Shogun mempunyai ruang pembakaran kepala silinder direka semula dengan mengecilkan sudut injap serta bukaan injap lebih besar bagi meningkatkan kecekapan pembakaran.
Pecutan pasti lebih pantas jika model ini dilengkapi ekzos Yoshimura yang dijual sebagai pilihan kepada pembeli berminat.
Ekzos Yoshimura tidak panas disentuh walaupun selepas melakukan tunggangan jarak jauh.
Bagaimanapun, ekzos standard yang menggunakan teknologi PAIR (Pulsed-secondary Air-Injection) mampu mengurangkan emisi ekzos dan lebih mesra alam.
Selain itu, bentuknya yang kecil dan meruncing membolehkan Shogun bergerak lebih pantas dengan tolakan angin lebih lancar.
Penggunaan lampu depan multi-reflektor dua rangkap dengan pancaran yang lebih luas dan terang manakala lampu brek belakang jenis LED meningkatkan keselamatan tunggangan malam.
Seperti model RR, SP dilengkapi brek cakera pada kedua-dua di mana brek hadapannya bersaiz 290 milimeter (mm) yang terbesar dalam kelasnya manakala brek belakang berdiameter 220 mm.
Daripada sudut keselamatan pula, Shogun dilengkapi Sistem Kunci Pusat iaitu penutup mudah pengendalian menggunakan magnet yang terdapat pada setiap hujung kunci untuk mengelakkan kecurian.
Ruang penyimpanan bawah tempat duduk sebesar tujuh liter boleh memuatkan baju hujan atau beg tangan bagi wanita sebagai langkah mengelak diragut penjenayah.
Suzuki Shogun RR didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu New Titan Black dengan kombinasi warna Marine Blue dan Dark Grey.
Berharga RM5,400.25 bagi 125 SP (tanpa insurans), Shogun adalah sebuah motosikal sejati bagi mereka yang gemarkan kelajuan.
>Spesifikasi
MODEL: Suzuki Shogun 125 SP
ENJIN: Empat lejang sejukan udara SOHC
KUASA: 124 cc
SISTEM PENGHIDUP: Elektrik dan tendang.
SUSPENSI DEPAN: Teleskopik, spring lingkaran, perendam minyak.
SUSPENSI BELAKANG: Lengan ayun, spring lingkaran, perendam bunyi
TRANSMISI: Empat kelajuan dengan klac tangan
KAPASITI TANGKI MINYAK: 4.3 liter
HARGA: RM5,400.25 (tanpa insurans)
|
|