Empat model baru Aprilia
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
SEMPENA perlumbaan MotoGP 2008 di Sepang baru-baru ini, pengimport dan pengedar tunggal motosikal jenama Aprilia, Moto Millia Sdn Bhd melancarkan empat model serentak yang bakal menjadi kegilaan peminat jentera dua roda di tanah air.
Pelancaran yang diadakan secara besar-besaran itu turut dihadiri pelumba terkenal seperti Bradley Smith, Mattio Pasini dan Randy.
Pengarah Urusan Moto Millia Sdn Bhd, Razak Al Malique, berkata pihaknya bukan saja menjual motosikal semata-mata tetapi mahu dikenali sebagai 'rakan' bagi mereka yang meminati dunia permotoran terutama membabitkan motosikal.
"Kehadiran jentera terbaru ini dijangka dapat menyuntik semangat masyarakat lebih mengenali dunia motosikal selain mampu mengasah bakat pelumba muda untuk beraksi di kejohanan MotoGP suatu hari nanti.
"Program pembangunan pelumba tempatan yang dianjurkan Moto Millia tahun lalu berjaya melahirkan beberapa pelumba dalam siri Junior GP Racing Dream 50cc," katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Ahmad Razlan Razali.
Empat model terbaru itu terdiri daripada Aprilia Shiver 750, Mana 850, SXV dan RS 125.
Aprilia Shiver 750 adalah motosikal naked yang ringan, berkuasa tinggi dan berkonsepkan drive by wire.
Jentera berkenaan disasarkan kepada golongan yang menggemari motosikal gaya Amerika dan dijual pada harga RM52,200 seunit.
Satu lagi jentera yang bakal menarik perhatian adalah Mana 850 transmisi automatik yang menyeronokkan. Berharga RM56,300 seunit, Aprilia Mana 850 menjanjikan kelainan dalam gaya tunggangan motosikal.
Bagi mereka yang menggemari motosikal lasak, model SXV bakal menjadikan hobi menunggang motosikal lasak menjadi lebih menarik.
SXV adalah model supermotard pertama di dunia yang menggunakan enjin silinder berkembar yang diadaptasikan daripada jentera lumba.
Model terbaru itu dijual pada harga RM53,800 seunit.
Aprilia RS125 adalah model yang sentiasa menjadi idaman ramai dan dengan harga RM22,300, peminat motosikal kini dapat menikmati jentera yang menjadi kegilaan di seluruh dunia.
Sementara itu, Razak berkata, pelumba siri Junior GP Racing Dream 50cc terpilih akan memasuki fasa kedua dan akan menjalani latihan di Red Bull Academy, Portugal bulan hadapan.
"Antara program lain yang bakal dilaksanakan pada masa depan termasuk Kejohanan Nasional 125cc yang menggunakan motosikal bersaiz lebih besar atau ala superbike.
"Ini membolehkan pelumba merasai sendiri pecutan motosikal berkenaan dan pendedahan ini sebagai permulaan untuk memasuki perlumbaan MotoGP pada masa akan datang," katanya.
Razak berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan anak muda yang berminat dengan perlumbaan motosikal menyertai program Junior GP Racing Dream 50cc.
"Mereka hanya perlu membayar yuran sebanyak RM500 sementara kos menyertai perlumbaan ditanggung sepenuhnya," katanya.
|
|