Kuasa melimpah-ruah
Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my
MESKIPUN belum boleh dilabel selaku yang terbaik di dalam kelasnya, kehadiran jentera gergasi GTR1400 di atas jalan raya Malaysia dilihat mampu menjulang nama Kawasaki dan rasanya jurutera Jepun yang terbabit dalam penghasilan motosikal berkenaan berhak untuk mendapat pujian.
Dengan reka bentuk mantap serta sporty dan digabungkan dengan kuasa cukup mengagumkan, GTR1400 memang jentera yang mengancam serta memikat mana-mana peminat motosikal berkuasa tinggi.
Selepas kira-kira lima hari menunggang GTR1400 setiap kali berulang-alik mengharungi Lebuhraya KL-Seremban, Kawasaki sememangnya mempunyai sesuatu yang boleh dibanggakan dalam kelas motosikal super touring.
Lupakan sejenak soal harganya - lebih RM100,000, kerana dari semua segi, jentera ini tidak pernah tewas di tangan pesaing utamanya dan apa yang paling mengagumkan ialah kuasanya yang melimpah-ruah.
Penukaran gear langsung tidak tersekat dan cukup lancar. Sebelum mula menunggang, penulis beranggapan tentu sukar menarik klac untuk menukar gear kerana saiznya yang sedikit besar berbanding motosikal yang pernah diuji sebelum ini.
Apa yang menarik ialah semua yang perlu diketahui terpapar jelas di skrin meter digital termasuk tekanan tayar depan dan belakang, kedudukan paras minyak, tahap kepanasan jentera serta kedudukan gear.
Skrin penghadang angin boleh laras bagi menyesuaikan saiz badan penunggang yang ada pada GTR1400 juga sesuatu yang boleh dijadikan fakta tambahan jika ada yang berkira-kira untuk memiliki gergasi ini.
Di atas lebuh raya, tidak ada yang mustahil bagi GTR1400 kerana untuk melepasi kelajuan 160-180 kilometer sejam bukanlah sesuatu yang sukar cuma mungkin anda sedikit gerun dengan pick-up yang dihasilkan.
Kuasa kudanya saja sebanyak 155bhp - kuasa yang cukup mantap bagi sebuah kenderaan dua roda - sambil dibantu casis monococque yang sudah terbukti mampu menstabilkan setiap kali mengambil selekoh.
Enjinnya tidak akan terbatuk atau tersangkut-sangkut setiap kali anda mahu menambah kelajuan cuma nasihat saya ialah, pastikan kedua-dua tangan anda cukup kuat mengendalikan hendal yang direka khas untuk tidak memenatkan penunggangnya.
Selaras dengan kuasanya yang hebat, GTR1400 juga mengutamakan keselamatan dan justeru, jentera ini menggunakan sistem brek antikekunci (ABS) bagi memastikan ia mampu untuk berhenti tanpa kurang risiko tersasar.
Cuma yang menjadi masalahnya ialah kotak pelbagai guna di sebelah kiri dan kanan belakang jentera ini yang menyukarkan pergerakan untuk mencelah di deretan kenderaan. Sedikit kesilapan boleh membuatkan anda dijerit pemandu kereta akibat geselan kotak terbabit.
GTR1400 jauh lebih panjang berbanding motosikal biasa dan kerana itulah penunggangnya perlu memahirkan dulu dengan saiznya sebelum cuba untuk menyertai deretan kenderaan di tengah kesesakan jalan raya.
|
|