Era baru wagon
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
 |
KEHADIRAN pelbagai model kenderaan pelbagai guna (MPV) dan utiliti sport (SUV) masa kini menenggelamkan terus model sedan wagon yang popular suatu masa dulu sebagai kenderaan penumpang praktikal. |
KEHADIRAN pelbagai model kenderaan pelbagai guna (MPV) dan utiliti sport (SUV) masa kini menenggelamkan terus model sedan wagon yang popular suatu masa dulu sebagai kenderaan penumpang praktikal.
Bagaimanapun, minat terhadap kenderaan panjang yang juga digelar estate bakal berkembang kembali apabila pengeluar kenderaan gergasi Sweden, Volvo melancarkan model wagon V50, baru-baru ini.
Wagon V50 2.4i boleh dikategorikan sebagai estate premium bagi memikat kehendak golongan eksekutif muda yang mahukan kenderaan sedan yang menawarkan keluasan optimum.
Buah tangan terbaru ini menggabungkan reka bentuk kompak moden tetapi masih mencerminkan gaya Scandinavia yang bergaya.
Ketelitian reka bentuk V50 dapat dilihat melalui garis kontur dan panel sisi yang kemas hingga ke bahagian belakang manakala lampu belakangnya memanjang.
Perkataan Volvo yang terpampang pada bahagian belakang lebih besar dan jelas, mungkin sebagai satu peringatan mengenai gaya, kuasa serta keselesaan.
Rekaan dalaman V50 tampak ringkas, moden dan disusun atur dengan kemas bagi memudahkan butang kawalan audio mahupun sistem penyaman udara.
Menarik, kenderaan wagon ini turut mempunyai konsol tengah yang nipis dengan ruang penyimpanan barang di belakangnya.
Biasanya, wagon menggambarkan ruang barangan yang luas dan gambaran itu terbukti apabila wujud ruang kargo luas selepas semua tempat duduk penumpang dilipat rata.
Keluasan ini turut disumbangkan dengan 46 milimeter lebih panjang berbanding model S40.
Volvo sememangnya terkenal sebagai jentera yang selamat dengan mengadaptasikan keselamatan pencegahan dan perlindungan.
Antaranya sistem keselamatan WHIPS (Whiplash Protection System), SIPS (Side Impact Protection System) dan IC (Inflatable Curtain) sebagai ciri standard V50.
Menceritakan mengenai kuasa, enjin lima silinder sebaris menawarkan gegaran minimum tetapi berupaya menghasilkan kuasa tork yang tinggi ketika pecutan.
Enjin V50 mampu menghasilkan kuasa maksimum 170 hp pada 6,000 rpm dan tork maksimum 230 Nm pada 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan Geartronic.
Jentera ini boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam tempoh sembilan saat dengan pecutan maksimum sehingga 215 km/j.
Ditawarkan pada harga RM185,500 seunit di atas jalan tanpa insurans, Volvo V50 2.4i didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu kelabu, perak dan hitam.
|
|